“Yang
kurik itu kendi,
Yang
merah itu saga,
Yang
baik itu budi,
Yang
indah itu bahasa.”
Dalam kehidupan kita seharian, kita digalakkan untuk
menuturkan kesantunan apabila berbahasa dan berbicara. Perkara ini sangatlah
penting untuk dipraktikkan supaya kita tidak dianggap sebagai biadab atau tidak
berbudi bahasa. Di samping itu juga, apabila kita menggunakan kesantunan dalam
berbahasa, kehalusan budi bahasa dan kesopanan jelas terpancar pada penuturnya
dan perkara inilah yang akan menarik minat masyarakat luar untuk mempelajarinya
terutama pelancong asing.
Selain itu, kesantunan berbahasa juga dapat dilihat
melalui sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. Hal ini kerana, kesantunan
berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu, iaitu penggunaan kosa kata dan
ganti nama diberi perhatian yang khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat,
umur dan keakraban hubungan. Dengan adanya ciri-ciri begini, kita akan mampu
membawa bahasa Melayu ke satu tahap yang lebih tinggi dengan statusnya sebagai
bahasa rasmi negara kita.
Namun pada hari ini, kebanyakan masyarakat tidak mempedulikan
sangat tentang kesantunan dalam berbahasa. Mengambil satu contoh yang benar-benar berlaku;
Tempat: Di gerai makan.
Situasi: Kepenatan mungkin tidak dapat dielakkan lagi
apabila seharian bertungkus-lumus menjalankan perniagaan bagi mencari sumber
rezeki yang halal. Akhirnya, peniaga tersebut tidur sebentar sambil ditemani
oleh jatuhan manik-manik kecil yang agak lebat di atas bumbung gerainya. Dalam
kelebatan hujan pada petang itu, datang seorang pelanggan lelaki dalam
lingkungan 40-an ke kedainya. Apa yang mengejutkan, lelaki tersebut terus
memarahi peniaga tersebut;
“Hoi, kalau nak tidur balik rumah
lah. Tak usah berniagalah…”
Ucapan sebegini sering kali kita dengar pada hari ini.
Mengapa perlu kita meninggikan suara seperti itu? Sangat mulia rasanya
seandainya kita menggunakan bahasa yang halus untuk mengejutkan peniaga
tersebut. Mungkin boleh kita mulakan ucapkan seperti ini;
“Pak cik! Pak cik! Bangun pak cik. Saya hendak cendol
satu…”
Ujaran seperti itu
lebih lembut jika dibandingkan dengan kita mengherdiknya. Dengan cara ini, kita
dapat mengejutkan peniaga tersebut dari tidurnya dengan baik. Alangkah sejuknya
hati peniaga tersebut jika mendengar ucapan sebegini.
Oleh hal demikian, kita seharusnya mengamalkan kesantunan
berbahasa dalam apa jua situasi sekalipun. Kita perlu meletakkan nilai murni di
hadapan. Dengan cara ini, kita akan mampu berfikir dengan baik dan jelas. Kesantunan,
dalam konteks yang lebih luas, tidak hanya merujuk kepada kesantunan berbahasa
semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverbal seperti tingkah laku,
mimik muka dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan
kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu
interaksi. Dengan itu, kesantunan perlu dipupuk dan disemaikan terhadap pelajar
dari semasa ke semasa.
Sumber:
http://www.scribd.com/doc/27252868/KESANTUNAN-BERBAHASA
http://addin-mariberbahasa.blogspot.com/2007/06/kesantunan-berbahasa.html
No comments:
Post a Comment