Masyarakat Melayu pada
zaman dahulu sangat kaya dengan ilmu pengetahuan. Lihat sahaja bagaimana mereka
mengungkapkan ayat-ayat yang lembut dan halus dengan cukup indah. Mereka bijak
dalam memilih perkataan dan penggunaan ayat agar apa yang diucapkan tidak
menyinggung perasaan orang yang mendengarnya. Perkara ini jelas memperlihatkan
kepada kita bahawasanya masyarakat Melayu memang terkenal dengan adab dan
tatasusilanya.
Orang-orang tua banyak
menggunakan peribahasa untuk mengungkapkan sesuatu perkara. Mereka tidak mahu
banyak bercakap dan akhirnya membinasakan diri mereka sendiri. Hal ini
bertepatan dengan peribahasa ‘terlajak perahu boleh di undur, terlajak
kata badan binasa’. Mereka sangat mengutamakan adab ketika berbicara.
Malahan, semasa membuat teguran sekalipun, mereka sangat berhemah. Ini
menggambarkan kepada kita tentang kehalusan dan ketinggian nilai adab sopan.
Namun, pada hari ini
suasana sudah berubah. Masyarakat sudah tidak gemar dalam menggunakan
peribahasa dalam perbualan. Malah, adab berbicara juga semakin hari semakin
diabaikan. Orang tua-tua pernah berpesan, sebelum bertindak fikir dahulu.
Namun, pesanan sebegini hanya tinggal pesanan dan dipandang dingin oleh
masyarakat pada hari ini. Sehinggakan mereka sanggup untuk mengeluarkan
kata-kata yang kesat walaupun terhadap ibu bapa mereka.
Gambar di atas
merupakan salah satu contoh yang dapat dilihat, iaitu bagaimana seorang anak
sanggup bertutur sedemikian dengan orang tuanya. Apabila meletakkan emosi di
hadapan dan mengabaikan aspek budi bahasa, kita akan mudah hilang pertimbangan.
Oleh hal demikian, kita seharusnya mengikuti contoh orang dahulu kala yang
sentiasa berlapis di dalam percakapan mereka.
P/s: Bahasa Dijunjung,
Bangsa Disanjung.
No comments:
Post a Comment