Siapa yang tidak pernah
berurusan di kaunter. Saya yakin dan pasti setiap orang mempunyai pengalaman
yang tersendiri semasa berurusan di kaunter. Kecil, besar, muda atau tua,
semuanya akan berurusan di kaunter. Apa yang membezakan ialah pengalaman semasa
berurusan di kaunter tersebut.
Bila sebut kaunter,
ada yang rasa takut. Mana tidaknya, petugas yang bertugas di kaunter dilihat
tidak begitu mesra untuk melayan pelanggan yang datang untuk mendapatkan
perkhidmatan. Ada yang diherdik, ada yang tidak dipedulikan, buat endah tidak
endah, pandang pun tidak dan sebagainya. Yang paling membuatkan masyarakat
tidak gemar untuk berurusan di kaunter ialah disebabkan oleh petugas kaunter
tidak pandai untuk memberikan sekuntum senyuman kepada pelanggannya.
Namun begitu, kita juga
perlu memahami situasi yang dihadapi oleh petugas kaunter. Mereka terpaksa
berdepan dengan pelbagai kerenah dan bermacam-macam ragam. Mungkin
disebabkan terpaksa mengulang jawapan
dan persoalan yang sama setiap hari, mereka berasa sedikit tertekan dan
menyebabkan mereka bersikap demikian. Seandainya kita berada di tempat mereka,
kemungkinan kita juga turut merasakan apa yang mereka rasai.
Alhamdulillah, urusan
saya di kaunter am Fakulti Bahasa pada hari ini tidak menakutkan seperti yang diceritakan
oleh teman-teman sekuliah. Petugas kaunter pada hari ini melemparkan senyuman
sebagai pembuka bicara. Apabila melihatkan senyuman yang dilontarkan, maka
dengan mudah saya menjalankan urusan di kaunter pada pagi ini.
Berbudi
bahasa pusaka bangsa
Pantun
gurindam budaya kita,
Orang
berbudi kita berbahasa,
Orang
memberi kita merasa.
Pantun di atas
menggambarkan kepada kita bahawasanya amalan berbudi bahasa perlu diterapkan
semasa berurusan di kaunter. Sememangnya perasaan kecewa akan timbul apabila pertanyaan
yang lemah lembut dibalas dengan layanan yang tidak sepatutnya. Walau
bagaimanapun, adab dan amalan berbudi bahasa perlu juga diamalkan di kaunter.
Dengan cara ini, kita mampu membentuk masyarakat yang berbudi bahasa.
P/s: Kalau kita tengok
orang yang tidak berbudi bahasa, kita perlu juga tengok diri kita berbudi atau
tidak. Kalau kita tengok orang yang tinggi nilai budi bahasanya, maka
contohilah dia.
No comments:
Post a Comment