Thursday, 22 March 2012

#14 Dari UPSI ke Johor



Pada hari Rabu (21 Mac 2012), kami memulakan perjalanan menuju ke Johor pada pukul 1 pagi. Perjalanan yang memakan masa selama 8 jam menaiki kereta membuatkan badan terasa penat sangat. Perjalanan jauh menuntut kesediaan dari segi fizikal dan juga mental. Seandainya perkara ini tidak mencukupi, akan berlakulah pelbagai kejadian yang tidak diingini.

Keadaan malam yang gelap dan dingin membuatkan kami cukup selesa. Ada yang asyik tidur sahaja dari mula perjalanan. Namun, bagi pemandu kereta, saya tidak boleh leka dan perlu sentiasa berhati-hati. Maklumlah, bukan nyawa saya seorang, tetapi banyak nyawa lain yang perlu dijaga dan semuanya terletak di tangan saya. Seandainya saya cuai ketika memandu, maka kawan-kawan lain juga turut menerima akibatnya.

Apa yang saya perhatikan semasa perjalanan pergi dan balik dari Johor, saya dapati ada sesetengah pemandu tidak mengamalkan adab dan sopan ketika di jalan raya seperti membuang puntung rokok dengan sewenang-wenangnya selain memandu dalam halaju yang tinggi. Di samping itu juga, terdapat juga sebilangan pemandu dan penumpang kereta tersebut dengan sengaja membuang bekas plastik makanan di atas jalan. Nampak sahaja ringan, tetapi perbuatan ini boleh membahayakan pengguna jalan yang lain. Oleh itu, kita perlulah menjaga adab semasa memandu agar keselamatan pengguna lain terjaga.

Semasa perjalanan pulang, salah sebuah kereta telah mengalami tayar pancit. Namun, masalah ini berjaya diselesaikan dengan semangat tolong-menolong. Alhamdulillah, kami selamat tiba semula di UPSI pada pukul 10.30 malam.



    

No comments:

Post a Comment