Tuesday, 20 March 2012

#12 Latah-Melatah

Pagi ini, saya ingin bawakan satu cerita. Saya rasa semua orang tahu mengenainya. Bila sebut tentang melatah, pasti ada yang tergelak-gelak. Mana tidaknya, orang yang sering melatah selalu tidak sedar akan perbuatannya. Melatah ini boleh dikatakan sudah sebati dengan masyarakat Melayu. Kalau dulu, orang kaitkan melatah ini dengan golongan tua sahaja. Namun, pada hari ini kita dapat lihat golongan muda juga sudah terikut-ikut dengan gejala ini. Bahkan, kanak-kanak juga sudah pandai melatah dengan mengikut apa yang dilihat mereka.

Apa itu melatah? Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 897), perkataan latah itu sendiri membawa erti, sejenis penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu (biasanya perempuan) tidak sedar apa yang dilakukannya, suka mengikut perbuatan atau suruhan orang dengan tidak disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu dengan tidak disengajakan kerana terperanjat.

Kebiasaannya, kita selalu dengan orang yang melatah mengeluarkan perkataan Ya Allah, owh sayangku, opocot, oh mak kau dan sebagainya. Ada kalanya, perkataan yang tidak manis didengar juga turut keluar dari mulut orang yang latah. Kadang-kadang orang yang melatah ini akan disertai dengan gerak badan seperti melompat, menari dan sebagainya.

Teringat pula satu kejadian di tempat kenduri, di mana orang yang latah itu sampai memeluk dan mencium orang yang mengusiknya sambil mengeluarkan perkataan yang merapu-rapu. Dan sebentar tadi juga, saya dapat menyaksikan orang yang melatah. Akibat daripada terkejut kerana disentuh, kawan saya telah melatah dan mengeluarkan perkataan yang kurang manis untuk didengar.

Melatah ini ada yang bahaya dan ada yang tidak. Oleh itu, kita perlu perhatikan terlebih dahulu orang yang ingin kita tegur itu. Pastikan orang yang ingin ditegur itu menyedari kehadiran kita. Seandainya orang yang ingin ditegur itu mempunyai sifat latah yang teruk, dan di tangannya pula ada sebilah parang, berhati-hatilah ketika menegurnya. Jika tidak bernasib baik, kemungkinan parang yang berada di tangannya akan diayunkan kepada kita.


No comments:

Post a Comment