Friday 30 March 2012

#20 Dielek Kelantan (3)


Penggunaan bahasa Inggeris pada hari ini sangat dititikberatkan. Disebabkan penggunaannya semakin meningkat, kita dapati bahawa masyarakat pada hari ini telah menggabungkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris terutama dalam berkomunikasi. Namun, sedarkah kita bahawa dalam dialek Kelantan juga terdapat penggunaan bahasa Inggeris. Ini menggambarkan bahawasanya penduduk negeri Kelantan telah banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian. Contoh perkataannya ialah:

Bekwoh       = Big work
Pasenje       = Pasengger
Kona           = Corner
Derek          = Direct
Sterik          = Stright
Hema          = Hammer
Chesow        = Chain Saw
Kueri            = Query
Stesin bah    = Bus Station

Thursday 29 March 2012

#19 Dialek Kelantan (2)


Apabila dibandingkan dialek Kelantan dengan bahasa Malaysia, didapati beberapa kelainan yang ketara dapat dilihat seperti dalam aspek fonologi. Dalam bidang fonologi, iaitu kajian terhadap bunyi-bunyi bahasa dan susunan bunyi-bunyi tersebut dalam satu-satu bahasa, didapati ada kelainan yang ketara di antara dialek Kelantan dengan bahasa Malaysia, iaitu dalam aspek pengucapan.

Kelainan Dalam Pengucapan

Cara mengucapkan satu-satu kata dalam dialek Kelantan berlainan dengan cara mengucapkannya dalam Bahasa Malaysia. Umpamanya, penutur dialek Kelantan mengucapkan [ɔɛ] untuk [oran] dan [kitɔ] untuk [kitə].

Berikut merupakan ucapan yang berlainan di antara dialek Kelantan dengan bahasa Malaysia:

Dialek Kelantan
Bahasa Malaysia

[ kəbo ]
[ kəbon ]
‘kebun’
[ itɛ ]
[ hitam ]
‘hitam’
[ habih ]
[ habes ]
‘habis’
[ mɔʔ ]
[ rambotan ]
‘rambutan’
[ bukuhsɛ ]
[ bungkusan ]
‘bungkusan’
[ hala ]
[ halal ]
‘halal’
[ səlamaʔ ]
[ səlamat ]
‘selamat’
[ kuba ]
[ kərbau ]
‘kerbau’
[ sapa ]
[ sampai ]
‘sampai’



Wednesday 28 March 2012

#18 Agama, Bahasa dan Adat


Petang ini, saya telah meluangkan sedikit masa membaca akhbar. Pelbagai berita terkini dapat saya ikuti. Dalam pembacaan tersebut, saya begitu tertarik dengan penulisan Ridhuan Tee Abdullah dalam ruangan Kolumnis (sini). Apa yang menariknya, beliau telah membicarakan tentang bahasa, adat dan agama.

Beliau telah menerangkan dengan jelas bahawa penyebaran agama berlaku dengan menggunakan bahasa. Bahasa menjadi alat untuk berdakwah dan menyebabkan pedagang Arab, Cina dan India telah berusaha mempelajari bahasa Melayu agar dapat memperluaskan penyebaran agama Islam.

Kita tahu bahawasanya bahasa, adat dan agama merupakan satu perkara penting yang perlu kita jaga dan hormati. Namun, dalam mencapai sesuatu, kita asyik mengetepikan perkara ini. Dan paling malang apabila kita telah mensia-siakan perkara yang selama ini kita jaga.

Oleh hal demikian, kita perlulah kembali kepada asal usul kita. Kita perlu kenal siapa diri kita. Dengan cara ini, kita akan lebih menghormati agama, adat dan juga bahasa.


Tuesday 27 March 2012

#17 Datuk Vs Dato'


Apabila seseorang itu memperoleh cucu, kita pasti akan memanggil beliau dengan gelaran datuk. Gelaran ini merupakan satu gelaran yang akan pasti diperoleh oleh kita tidak kira lambat atau cepat. Namun, bukan gelaran datuk dalam kekeluargaan yang ingin diceritakan, tetapi Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Dato’.

Kita dapat lihat pada hari ini, ramai individu yang memperoleh anugerah ini tidak kira yang bergiat aktif dalam sukan, akademik, politik, hiburan dan sebagainya. Anugerah ini diberikan adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara yang tercinta ini.

Walau bagaimanapun, kita sering kali mengalami kekeliruan untuk menulis gelaran ini sama ada untuk menulis Datuk atau Dato’ dalam penulisan kita. Kekeliruan ini merupakan perkara biasa dan saya sendiri mengalaminya. Hal ini terjadi kerana kita tidak mengetahui siapa yang telah menganugerahkan anugerah ini kepada mereka.

Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan, yakni oleh Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai sultan dan diketuai oleh Yang Dipertua seperti Melaka, Sarawak dan Sabah.

Contoh penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk ialah;

Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Sharifah Aini, Datuk Shah Rukh Khan dan lain-lain.

Sementara itu, Dato’ pula ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja.

Contoh penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ ialah;

Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ Mizal Zaini, Dato' Idris Md Yusof dan lain-lain

Oleh hal demikian, kita seharusnya dapat membezakan penggunaan Datuk dan Dato’ apabila membaca sedikit penerangan di atas.

                                      Datuk Shah Rukh Khan


                        Dato' Mizal Zaini dan Dato' Idris Md Yusof

Monday 26 March 2012

#16 Dialek Kelantan






Kelantan merupakan sebuah negeri agraria, iaitu negeri yang menjalankan aktiviti pertanian. Negeri ini mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan sesetengahnya terdiri daripada perkampungan nelayan. Negeri Kelantan mempunyai keluasan lebih 14,992 km dan terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia yang berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan Thailand. Kelantan dibahagikan kepada 10 jajahan pentadbiran, iaitu Kota Bharu sebagai ibu negeri, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. 

Penduduk-penduduk di negeri ini menggunakan dialek Kelantan sebagai bahasa pertuturan seharian mereka untuk berkomunikasi dan menyampaikan maklumat penting. Dialek Kelantan juga dituturkan oleh penduduk yang mendiami daerah-daerah sempadan Kelantan / Terengganu, Kelantan / Pahang, dan juga beberapa daerah dalam wilayah Thailand Selatan seperti Sungai Golok, Narathiwat, Yala dan Patani. Walaupun menggunakan dialek Kelantan, setiap daerah mempunyai perkataan yang berlainan untuk mengungkapkan sesuatu benda.

Sistem vokal dalam dialek Kelantan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu vokal kardinal primer dan vokal kardinal sekunder. Vokal kardinal primer terdiri daripada dua iaitu ê dan a. Manakala vokal kardinal sekunder terdiri daripada i, e, ĕ, u, o, ô. Sesuatu vokal tertentu yang berada di akhir perkataan dalam dialek Kelantan berkemungkinan mempunyai kesejajaran dengan urutan vokal konsonan dalam bahasa Melayu standard. Cara penyebutan vokal i, e, u dan o dalam lingkungan sistem fonologi subdialek tidak banyak berbeza dengan cara penyebutan dalam bahasa Melayu standard. Namun cara penyebutan ini mempunyai pengecualian jika vokal tersebut mempunyai ciri-ciri vokal kardinal sekunder pada sifat kardinal vokal-vokal berkenaan yang bersesuaian. Contohnya dapat dilihat dalam situasi yang berkenaan:

1) Vokal a yang terdapat pada akhir perkataan dalam bahasa Melayu standard adalah sejajar dengan vokal ô dalam subdialek Kelantan. Contoh penggunaannya dalam perkataan ialah:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# manô #/
mana
/# bakpô #/
kenapa

2) Vokal a yang terdapat dalam suku kata akhir tertutup bahasa Melayu Standard sejajar dengan vokal ô yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Penggantian vokal a pada bahasa Melayu standard kepada vokal ô dalam subdialek Kelantan akan berlaku jika perkataan tersebut berakhir dengan hentian glotis (q) atau frikatif glotis (h) selepas vokal a tersebut dalam perkataan bahasa Melayu standard. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# susôh #/
susah
/# galôk #/
galak

3) Perkataan yang mempunyai suku kata tertutup a yang diakhiri dengan konsonan t dan p dalam bahasa Melayu standard akan digantikan dengan hentian glotis (k) dalam subdialek Kelantan. Namun vokal a pada suku kata tertutup tersebut tidak akan berubah. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# cepak #/
cepat
/# isak #/
hisap

4) Vokal a yang diikuti dengan konsonan nasal dalam suku kata akhir tertutup bahasa standard akan digantikan dengan vokal ê dalam subdialek Kelantan. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# makê #/
makan
/# sajê #/
sayang

5) Vokal a yang diikuti dengan konsonan l dan r dalam perkataan bahasa Melayu standard pada suku kata akhir tertutup adalah sejajar dengan perkataan yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Namun, konsonan l dan r akan dihilangkan dalam perkataan subdialek Kelantan. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# kĕba #/
kebal
/# tika #/
tikar

6) Dalam subdialek Kelantan, diftong tidak wujud. Namun diftong au dan ai pada akhir perkataan dalam bahasa Melayu standard adalah sejajar dengan vokal a pada akhir perkataan yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# pana #/
panau
/# panda #/
pandai

Kesimpulannya, dialek Kelantan merupakan salah satu dialek yang terdapat dalam bahasa Melayu. Dialek Kelantan dituturkan oleh penutur-penutur yang berasal dari Kelantan dan masyarakat yang tinggal di negeri Kelantan. Walau bagaimanapun, dialek Kelantan juga turut dituturkan oleh penduduk-penduduk yang mendiami daerah yang bersempadan dengan negeri Kelantan. Antara penduduk yang menggunakan dialek atau loghat Kelantan dalam pertuturan mereka ialah penduduk yang berada di sempadan negeri Kelantan serta tiga wilayah selatan Thailand. walaupun dialek Kelantan mempunyai cara sebutan yang berbeza dengan cara sebutan yang terdapat pada bahasa Melayu standard, namun dialek Kelantan tetap tergolong dalam rumpun bahasa Melayu dan perlu dikekalkan.

Friday 23 March 2012

#15 Sindiran


Setiap orang mesti pernah berada dalam situasi menyindir atau disindir. Kadang-kadang perbuatan ini akan membuatkan seorang kawan boleh bergaduh dengan kawan, bahkan pasangan kekasih juga boleh berbalah dek kerana sindir-menyindir.

Apa itu sindiran? Saya pasti ramai yang sudah mengetahui maksudnya. Sindiran merupakan perkataan yang ditujukan untuk menyatakan sesuatu maksud kepada seseorang, tidak disebutkan atau dinyatakan secara tepat. Sindiran hanya disampaikan secara sinis dengan dikias-kiaskan atau dilambangkan kepada perkara lain. Kebiasaannya sindiran ini tidak dinyatakan atau disebutkan secara terus-terang atau ditujukan tepat terhadap seseorang.

Tahukah anda bahawasanya sindiran ini boleh dibahagikan kepada 3, iaitu unsur ironi, unsur sinisme dan unsur sarkasme.

Unsur ironi bermaksud bahasa sindiran yang menyatakan sesuatu tetapi mempunyai makna di sebaliknya. Sindiran sebegini kebiasaannya bertujuan untuk menyindir orang yang dilawan berbicara. Biasanya membawa maksud yang bertentangan dengan maksud literalnya. Sebagai contoh:

Buatlah apa kau suka, kan kita ni boleh hidup sepanjang zaman”.

Seterusnya ialah unsur sinisme, iaitu gaya bahasa sindiran atau ejekan yang kasar. Bertujuan menyindir dengan kata-kata yang lebih kasar. Sebagai contoh:

Jijik aku melihat telatahnya, muntah kau melihat mukanya

Akhir sekali ialah sindiran yang berbentuk unsur sarkasme. Maksudnya, bahasa kiasan yang lebih kasar daripada gaya bahasa yang menggunakan unsur sinisme. Ia digunakan untuk memarahi seseorang dengan kata-kata yang lebih kasar. Selalunya ia terjadi pada saat darah sedang naik atau mendidih. Sebagai contoh:

Pergi jahanamlah kamu! Biarlah dia mampus, aku tak peduli”.

Rumusannya, bahasa sindiran merupakan salah satu medium yang baik untuk kita jadikan sebagai alat bagi menegur dan menasihati seseorang. Namun begitu, kita perlulah peka dengan keadaan sekeliling sebelum menggunakannya. Hal ini kerana, sindiran yang diujarkan dalam keadaan tidak sedar akan membolehkan sesuatu hubungan itu terlerai dan menyebabkan keharmonian dalam kehidupan tergugat.


Thursday 22 March 2012

#14 Dari UPSI ke Johor



Pada hari Rabu (21 Mac 2012), kami memulakan perjalanan menuju ke Johor pada pukul 1 pagi. Perjalanan yang memakan masa selama 8 jam menaiki kereta membuatkan badan terasa penat sangat. Perjalanan jauh menuntut kesediaan dari segi fizikal dan juga mental. Seandainya perkara ini tidak mencukupi, akan berlakulah pelbagai kejadian yang tidak diingini.

Keadaan malam yang gelap dan dingin membuatkan kami cukup selesa. Ada yang asyik tidur sahaja dari mula perjalanan. Namun, bagi pemandu kereta, saya tidak boleh leka dan perlu sentiasa berhati-hati. Maklumlah, bukan nyawa saya seorang, tetapi banyak nyawa lain yang perlu dijaga dan semuanya terletak di tangan saya. Seandainya saya cuai ketika memandu, maka kawan-kawan lain juga turut menerima akibatnya.

Apa yang saya perhatikan semasa perjalanan pergi dan balik dari Johor, saya dapati ada sesetengah pemandu tidak mengamalkan adab dan sopan ketika di jalan raya seperti membuang puntung rokok dengan sewenang-wenangnya selain memandu dalam halaju yang tinggi. Di samping itu juga, terdapat juga sebilangan pemandu dan penumpang kereta tersebut dengan sengaja membuang bekas plastik makanan di atas jalan. Nampak sahaja ringan, tetapi perbuatan ini boleh membahayakan pengguna jalan yang lain. Oleh itu, kita perlulah menjaga adab semasa memandu agar keselamatan pengguna lain terjaga.

Semasa perjalanan pulang, salah sebuah kereta telah mengalami tayar pancit. Namun, masalah ini berjaya diselesaikan dengan semangat tolong-menolong. Alhamdulillah, kami selamat tiba semula di UPSI pada pukul 10.30 malam.



    

Wednesday 21 March 2012

#13 Panggilan Hormat


Panggilan hormat ialah bentuk sapaan atau rujukan kepada orang tertentu mengikut gelar dan jawatannya. Gelaran yang dimiliki oleh seseorang berdasarkan kepada anugerah darjah kebesaran yang diterimanya, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri, gelaran ikhtisas, keagamaan dan sebagainya.

Dalam membuat panggilan hormat kepada seseorang, kita perlu mengetahui gelaran atau jawatan yang dimiliki oleh orang itu supaya panggilan itu bertepatan dengan gelaran dan jawatan yang dimilikinya. Sebagai contoh, di dalam majlis formal, panggilan hormat sangat dititikberatkan. Kesilapan menyatakan panggilan hormat dalam sesuatu majlis akan menampakkan kecacatan majlis tersebut. Oleh hal demikian, kita sangat ditekankan supaya menyatakan panggilan hormat yang betul agar majlis yang kita jalankan ini dapat berjalan dengan lancar.

Seandainya kita salah menyatakan panggilan hormat, kita wajar untuk dimarahi. Namun sebaliknya jika situasi yang tidak formal, adakah kita layak untuk dimarahi?

Saya masih mengingati dengan jelas bagaimana marahnya seorang peniaga kedai makan kepada pelanggannya. Apa yang telah membuatkan peniaga itu marah? Peniaga itu telah menceritakan kepada saya bagaimana beliau telah dimarahi oleh seorang pelanggan yang datang untuk makan tengah hari di kedainya. Seperti biasa, ayat yang digunakan olehnya ialah;

Encik nak minum apa?

Namun, pertanyaan lembutnya itu dibalas dengan marah oleh pelanggan tersebut. Pelanggan itu memarahi peniaga ini disebabkan peniaga ini tidak menggunakan panggilan hormat yang betul ke atas dirinya. Sedarkah pelanggan itu bahawasanya dia sedang berada di kedai makan? Kalaulah pelanggan itu sedar, saya rasa dia tidak akan memarahi peniaga tersebut. Hal ini kerana, dalam sehari, berapa ramai pelanggan yang datang untuk menjamu selera di kedainya. Mana mungkin dia dapat mengenali semua pelanggannya kecuali pelanggan yang kerap mengunjungi kedainya. Dan sudah pasti peniaga ini tidak mengetahui latar belakang pelanggannya sepenuhnya termasuklah gelaran yang diterimanya. Bagi peniaga ini, sesiapa sahaja yang datang ke kedai makannya adalah sama, yakni ingin mengisi perut yang lapar.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah, jika dalam situasi formal, kita memang digalakkan untuk menggunakan panggilan hormat yang betul. Namun, perkara ini tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya dalam situasi yang tidak formal seperti di kedai makan kerana tiada sesiapapun yang akan mengetahui gelaran yang kita miliki kecuali orang yang betul-betul mengenali diri kita.

Gambar Hiasan

Tuesday 20 March 2012

#12 Latah-Melatah

Pagi ini, saya ingin bawakan satu cerita. Saya rasa semua orang tahu mengenainya. Bila sebut tentang melatah, pasti ada yang tergelak-gelak. Mana tidaknya, orang yang sering melatah selalu tidak sedar akan perbuatannya. Melatah ini boleh dikatakan sudah sebati dengan masyarakat Melayu. Kalau dulu, orang kaitkan melatah ini dengan golongan tua sahaja. Namun, pada hari ini kita dapat lihat golongan muda juga sudah terikut-ikut dengan gejala ini. Bahkan, kanak-kanak juga sudah pandai melatah dengan mengikut apa yang dilihat mereka.

Apa itu melatah? Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 897), perkataan latah itu sendiri membawa erti, sejenis penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu (biasanya perempuan) tidak sedar apa yang dilakukannya, suka mengikut perbuatan atau suruhan orang dengan tidak disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu dengan tidak disengajakan kerana terperanjat.

Kebiasaannya, kita selalu dengan orang yang melatah mengeluarkan perkataan Ya Allah, owh sayangku, opocot, oh mak kau dan sebagainya. Ada kalanya, perkataan yang tidak manis didengar juga turut keluar dari mulut orang yang latah. Kadang-kadang orang yang melatah ini akan disertai dengan gerak badan seperti melompat, menari dan sebagainya.

Teringat pula satu kejadian di tempat kenduri, di mana orang yang latah itu sampai memeluk dan mencium orang yang mengusiknya sambil mengeluarkan perkataan yang merapu-rapu. Dan sebentar tadi juga, saya dapat menyaksikan orang yang melatah. Akibat daripada terkejut kerana disentuh, kawan saya telah melatah dan mengeluarkan perkataan yang kurang manis untuk didengar.

Melatah ini ada yang bahaya dan ada yang tidak. Oleh itu, kita perlu perhatikan terlebih dahulu orang yang ingin kita tegur itu. Pastikan orang yang ingin ditegur itu menyedari kehadiran kita. Seandainya orang yang ingin ditegur itu mempunyai sifat latah yang teruk, dan di tangannya pula ada sebilah parang, berhati-hatilah ketika menegurnya. Jika tidak bernasib baik, kemungkinan parang yang berada di tangannya akan diayunkan kepada kita.


Monday 19 March 2012

#11 Mikro oh Mikro


Alhamdulillah, sesi pengajaran mikro telah menutup tirainya pada hari ini. Selepas ini, sesi pengajaran makro pula yang akan menyusul. Seperti biasa, ada banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama dari segi cara berkomunikasi. Ramai di antara kami yang masih keliru dengan penggunaan kata sendi nama. Sebagai contoh untuk menggunakan perkataan ‘di’, ‘dekat’, ‘pada’, ‘kepada’ dan sebagainya.

Contoh ayat:

Dekat tangan cikgu ada sekeping kertas.

Ayat ini tidak berapa sesuai untuk digunakan kerana perkataan dekat itu tidak menggambarkan bahawasanya kertas itu betul-betul berada di tangan cikgu. Oleh hal demikian, ayat yang lebih sesuai ialah:

Di tangan cikgu ada sekeping kertas.

Secara kesimpulannya, kita sebagai bakal cikgu perlu menerapkan penggunaan bahasa Melayu tinggi terutama dalam sesi pengajaran. Tambahan pula, kita akan menjadi salah seorang pejuang bahasa di sekolah. Seandainya kita tidak mampu untuk berbahasa Melayu tinggi dengan baik, maka sia-sia sahaja jawatan kita sebagai guru bahasa.

Friday 16 March 2012

#10 Budi Bahasa Budaya Kaunter


Siapa yang tidak pernah berurusan di kaunter. Saya yakin dan pasti setiap orang mempunyai pengalaman yang tersendiri semasa berurusan di kaunter. Kecil, besar, muda atau tua, semuanya akan berurusan di kaunter. Apa yang membezakan ialah pengalaman semasa berurusan di kaunter tersebut.

Bila sebut kaunter, ada yang rasa takut. Mana tidaknya, petugas yang bertugas di kaunter dilihat tidak begitu mesra untuk melayan pelanggan yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan. Ada yang diherdik, ada yang tidak dipedulikan, buat endah tidak endah, pandang pun tidak dan sebagainya. Yang paling membuatkan masyarakat tidak gemar untuk berurusan di kaunter ialah disebabkan oleh petugas kaunter tidak pandai untuk memberikan sekuntum senyuman kepada pelanggannya.

Namun begitu, kita juga perlu memahami situasi yang dihadapi oleh petugas kaunter. Mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah dan bermacam-macam ragam. Mungkin disebabkan  terpaksa mengulang jawapan dan persoalan yang sama setiap hari, mereka berasa sedikit tertekan dan menyebabkan mereka bersikap demikian. Seandainya kita berada di tempat mereka, kemungkinan kita juga turut merasakan apa yang mereka rasai.

Alhamdulillah, urusan saya di kaunter am Fakulti Bahasa pada hari ini tidak menakutkan seperti yang diceritakan oleh teman-teman sekuliah. Petugas kaunter pada hari ini melemparkan senyuman sebagai pembuka bicara. Apabila melihatkan senyuman yang dilontarkan, maka dengan mudah saya menjalankan urusan di kaunter pada pagi ini.

Berbudi bahasa pusaka bangsa
Pantun gurindam budaya kita,
Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa.

Pantun di atas menggambarkan kepada kita bahawasanya amalan berbudi bahasa perlu diterapkan semasa berurusan di kaunter. Sememangnya perasaan kecewa akan timbul apabila pertanyaan yang lemah lembut dibalas dengan layanan yang tidak sepatutnya. Walau bagaimanapun, adab dan amalan berbudi bahasa perlu juga diamalkan di kaunter. Dengan cara ini, kita mampu membentuk masyarakat yang berbudi bahasa.

P/s: Kalau kita tengok orang yang tidak berbudi bahasa, kita perlu juga tengok diri kita berbudi atau tidak. Kalau kita tengok orang yang tinggi nilai budi bahasanya, maka contohilah dia.




Thursday 15 March 2012

#9 Dahulu dan Sekarang



Masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat kaya dengan ilmu pengetahuan. Lihat sahaja bagaimana mereka mengungkapkan ayat-ayat yang lembut dan halus dengan cukup indah. Mereka bijak dalam memilih perkataan dan penggunaan ayat agar apa yang diucapkan tidak menyinggung perasaan orang yang mendengarnya. Perkara ini jelas memperlihatkan kepada kita bahawasanya masyarakat Melayu memang terkenal dengan adab dan tatasusilanya.

Orang-orang tua banyak menggunakan peribahasa untuk mengungkapkan sesuatu perkara. Mereka tidak mahu banyak bercakap dan akhirnya membinasakan diri mereka sendiri. Hal ini bertepatan dengan peribahasa ‘terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa’. Mereka sangat mengutamakan adab ketika berbicara. Malahan, semasa membuat teguran sekalipun, mereka sangat berhemah. Ini menggambarkan kepada kita tentang kehalusan dan ketinggian nilai adab sopan.

Namun, pada hari ini suasana sudah berubah. Masyarakat sudah tidak gemar dalam menggunakan peribahasa dalam perbualan. Malah, adab berbicara juga semakin hari semakin diabaikan. Orang tua-tua pernah berpesan, sebelum bertindak fikir dahulu. Namun, pesanan sebegini hanya tinggal pesanan dan dipandang dingin oleh masyarakat pada hari ini. Sehinggakan mereka sanggup untuk mengeluarkan kata-kata yang kesat walaupun terhadap ibu bapa mereka.


Gambar di atas merupakan salah satu contoh yang dapat dilihat, iaitu bagaimana seorang anak sanggup bertutur sedemikian dengan orang tuanya. Apabila meletakkan emosi di hadapan dan mengabaikan aspek budi bahasa, kita akan mudah hilang pertimbangan. Oleh hal demikian, kita seharusnya mengikuti contoh orang dahulu kala yang sentiasa berlapis di dalam percakapan mereka.

P/s: Bahasa Dijunjung, Bangsa Disanjung.