Setiap orang mesti
pernah berada dalam situasi menyindir atau disindir. Kadang-kadang perbuatan
ini akan membuatkan seorang kawan boleh bergaduh dengan kawan, bahkan pasangan
kekasih juga boleh berbalah dek kerana sindir-menyindir.
Apa itu sindiran? Saya pasti
ramai yang sudah mengetahui maksudnya. Sindiran merupakan perkataan yang
ditujukan untuk menyatakan sesuatu maksud kepada seseorang, tidak disebutkan
atau dinyatakan secara tepat. Sindiran hanya disampaikan secara sinis dengan
dikias-kiaskan atau dilambangkan kepada perkara lain. Kebiasaannya sindiran ini
tidak dinyatakan atau disebutkan secara terus-terang atau ditujukan tepat
terhadap seseorang.
Tahukah anda
bahawasanya sindiran ini boleh dibahagikan kepada 3, iaitu unsur ironi, unsur
sinisme dan unsur sarkasme.
Unsur ironi bermaksud
bahasa sindiran yang menyatakan sesuatu tetapi mempunyai makna di sebaliknya.
Sindiran sebegini kebiasaannya bertujuan untuk menyindir orang yang dilawan
berbicara. Biasanya membawa maksud yang bertentangan dengan maksud literalnya.
Sebagai contoh:
“Buatlah apa kau suka, kan kita ni
boleh hidup sepanjang zaman”.
Seterusnya ialah unsur
sinisme, iaitu gaya bahasa sindiran atau ejekan yang kasar. Bertujuan menyindir
dengan kata-kata yang lebih kasar. Sebagai contoh:
“Jijik aku melihat telatahnya,
muntah kau melihat mukanya”
Akhir sekali ialah
sindiran yang berbentuk unsur sarkasme. Maksudnya, bahasa kiasan yang lebih
kasar daripada gaya bahasa yang menggunakan unsur sinisme. Ia digunakan untuk
memarahi seseorang dengan kata-kata yang lebih kasar. Selalunya ia terjadi pada
saat darah sedang naik atau mendidih. Sebagai contoh:
“Pergi jahanamlah kamu! Biarlah
dia mampus, aku tak peduli”.
Rumusannya, bahasa
sindiran merupakan salah satu medium yang baik untuk kita jadikan sebagai alat
bagi menegur dan menasihati seseorang. Namun begitu, kita perlulah peka dengan
keadaan sekeliling sebelum menggunakannya. Hal ini kerana, sindiran yang
diujarkan dalam keadaan tidak sedar akan membolehkan sesuatu hubungan itu
terlerai dan menyebabkan keharmonian dalam kehidupan tergugat.
No comments:
Post a Comment