Panggilan hormat ialah
bentuk sapaan atau rujukan kepada orang tertentu mengikut gelar dan jawatannya.
Gelaran yang dimiliki oleh seseorang berdasarkan kepada anugerah darjah
kebesaran yang diterimanya, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat
negeri, gelaran ikhtisas, keagamaan dan sebagainya.
Dalam membuat panggilan
hormat kepada seseorang, kita perlu mengetahui gelaran atau jawatan yang
dimiliki oleh orang itu supaya panggilan itu bertepatan dengan gelaran dan
jawatan yang dimilikinya. Sebagai contoh, di dalam majlis formal, panggilan hormat
sangat dititikberatkan. Kesilapan menyatakan panggilan hormat dalam sesuatu
majlis akan menampakkan kecacatan majlis tersebut. Oleh hal demikian, kita
sangat ditekankan supaya menyatakan panggilan hormat yang betul agar majlis
yang kita jalankan ini dapat berjalan dengan lancar.
Seandainya kita salah
menyatakan panggilan hormat, kita wajar untuk dimarahi. Namun sebaliknya jika
situasi yang tidak formal, adakah kita layak untuk dimarahi?
Saya masih mengingati
dengan jelas bagaimana marahnya seorang peniaga kedai makan kepada
pelanggannya. Apa yang telah membuatkan peniaga itu marah? Peniaga itu telah
menceritakan kepada saya bagaimana beliau telah dimarahi oleh seorang pelanggan
yang datang untuk makan tengah hari di kedainya. Seperti biasa, ayat yang
digunakan olehnya ialah;
Encik nak minum apa?
Namun, pertanyaan
lembutnya itu dibalas dengan marah oleh pelanggan tersebut. Pelanggan itu
memarahi peniaga ini disebabkan peniaga ini tidak menggunakan panggilan hormat
yang betul ke atas dirinya. Sedarkah pelanggan itu bahawasanya dia sedang
berada di kedai makan? Kalaulah pelanggan itu sedar, saya rasa dia tidak akan
memarahi peniaga tersebut. Hal ini kerana, dalam sehari, berapa ramai pelanggan
yang datang untuk menjamu selera di kedainya. Mana mungkin dia dapat mengenali
semua pelanggannya kecuali pelanggan yang kerap mengunjungi kedainya. Dan sudah
pasti peniaga ini tidak mengetahui latar belakang pelanggannya sepenuhnya
termasuklah gelaran yang diterimanya. Bagi peniaga ini, sesiapa sahaja yang
datang ke kedai makannya adalah sama, yakni ingin mengisi perut yang lapar.
Apa yang dapat
disimpulkan di sini ialah, jika dalam situasi formal, kita memang digalakkan
untuk menggunakan panggilan hormat yang betul. Namun, perkara ini tidak dapat
diaplikasikan sepenuhnya dalam situasi yang tidak formal seperti di kedai makan
kerana tiada sesiapapun yang akan mengetahui gelaran yang kita miliki kecuali
orang yang betul-betul mengenali diri kita.
Gambar Hiasan
No comments:
Post a Comment