Kajian perancangan
bahasa ialah kajian tentang usaha-usaha yang dirancang untuk mencari
penyelesaian kepada masalah-masalah bahasa masyarakat. Hal ini demikian kerana,
perkembangan pesat dalam dunia pada hari ini memerlukan satu perancangan yang
teliti agar masyarakat mampu mengungkapkan sesuatu perkataan dengan betul serta
merujuk sesuatu objek dengan betul. Kajian ini meliputi semua aspek termasuklah
sistem tulisan dan penyemakan semula sistem-sistem ejaan secara menyeluruh.
Istilah perancangan
bahasa (language planning) itu mula
digunakan oleh E. Haugen (1959) di dalam penulisannya apabila dia merancangkan
bahasa Norway. Dalam usaha tersebut, Haugen telah mendefinisikan perancangan
bahasa sebagai merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau
jawatankuasa tertentu, mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan
tersebut untuk penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan,
pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa berkenaan.
Oleh hal demikian, pada
hari ini perancangan bahasa telah menjadi satu aktiviti yang penting bagi
negara-negara yang ingin membentuk identiti baru. Dengan adanya perancangan
bahasa ini, manusia mampu meletakkan nilai tertentu untuk bahasa dan
merancangkan langkah-langkah yang terbaik akan sesuatu yang dirancang ini dapat
diterima oleh masyarakat penutur.
Dalam konteks negara Malaysia,
perancangan bahasa dapat dilihat dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di
mana, perancangan taraf bahasa melibatkan upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada dasar negara
yang dikenal sebagai Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan,
iaitu dua daripada dasar penting dalam proses pembinaan negara.
Oleh itu, usaha-usaha
perancangan bahasa perlu diperhebat agar dapat meningkatkan keupayaan
bahasa-bahasa terutama bahasa Melayu agar dapat mengungkapkan budaya ilmu yang
semakin meningkat. Setiap masa ilmu dan budaya sesuatu bangsa itu berkembang dan
memerlukan bahasa yang lebih tinggi, mampu dan anjal untuk menampung
perkembangan budaya tersebut.
Rujukan:
Joshua A. Fishman:
Penterjemah Alias Mohd Yatim (1991). Sosiologi
Bahasa: Satu Pendekatan Sains Kemasyarakatan antara Disiplin Terhadap Bahasa
dalam Masyarakat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
.
Prof. Emeritus Abdullah
Hassan. (2007). Teori Perancangan Bahasa.
Diperoleh 30 April 2012, pada http://sosiolinguistik.blogspot.com/2007/08/teori-perancangan-bahasa.html
No comments:
Post a Comment