Wednesday, 25 April 2012

#33 Pekerjaan


Hari ini, saya asyik melihat orang yang sedang memotong rumput. Nampak seronok melihat mereka bertungkus-lumus memotong rumput untuk kesenangan orang lain. Saya sendiri sudah lama tidak memegang mesin memotong rumput. Rasa rindu untuk menggunakannya. Sambil memerhatikan gelagat pekerja yang sedang memotong rumput, saya teringat perbualan bersama rakan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

Apa yang kami bualkan adalah mengenai kehidupan di dunia ini. Saya menanyakan pandangan beliau mengenai orang yang bekerja sebagai tukang sapu, memotong rumput di lebuh raya, dan sebagainya yang menjurus kepada pekerjaan yang dilakukan oleh golongan sederhana.

Pendapat yang diberikan adalah sama dengan pendapat saya. Beliau menyifatkan, setiap orang dalam dunia ini mempunyai tanggungjawab yang tersendiri yang perlu diselesaikan. Seperti seorang pekerja yang memotong rumput misalnya, tanpa mereka, sudah pasti di tepi-tepi jalan raya akan kelihatan semak samun yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya jika tidak diuruskan dengan baik.

Persoalan yang timbul adalah, pada hari ini, bukan semua tetapi kebanyakan masyarakat terutama yang terdiri daripada golongan kelas atasan memandang mereka yang bekerja sebegini dengan pandangan yang jijik. Bagi mereka, orang sebegini tidak layak berada atau makan bersama.

Bagi saya sendiri, saya cukup menghormati setiap orang yang melakukan kerja sebegini. Hal ini demikian kerana, kerana kesanggupan mereka lah, kita dapat hidup dalam suasana yang baik. Oleh hal demikian, walau apa jua pekerjaan yang kita buat, lakukanlah dengan hati yang ikhlas. Bila kita ikhlas melakukan kerja, sudah pasti akan ada orang yang akan berterima kasih dengan keikhlasan kita.


No comments:

Post a Comment