Hari ini, saya telah
pergi ke stesen kereta api untuk membeli tiket. Malangnya, hajat saya untuk
membeli tiket pada hari ini tidak kesampaian kerana tiket sudah habis dijual. Saya
sedikit terkejut kerana, kebiasaannya pada waktu pengajian begini, tiket tidak
pernah habis. Namun, pada hari ini tiket habis dijual. Mungkinkah disebabkan
hari Selasa yang bakal muncul merupakan hari cuti umum, iaitu untuk meraikan
hari pekerja. Jadi, pelajar mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung
halaman masing-masing dengan menaiki perkhidmatan kereta api.
Semasa berada di stesen
ini, saya teringat kembali peristiwa yang berlaku sebelum cuti pertengahan
semester yang lalu di mana kami terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum
tibanya kereta api yang dijadualkan tiba sekitar pukul 12.30 pagi. Kelewatan
yang berlaku ini berpunca daripada kerosakan yang dialami oleh enjin kereta api
tersebut.
Keadaan stesen pada
malam ini agak sesak. Akibat kelewatan yang dialami, para penumpang mula
mengeluarkan makanan yang dibawa dan menjamu selera di stesen sambil duduk
bersila. Ada juga dalam kalangan penumpang yang mula mencari sudut untuk tidur.
Apa yang kami kesalkan
pada malam itu ialah, tidak ada khabar berita dari pihak stesen yang menyatakan
kereta api mengalami kerosakan. Kami dibiarkan tidur bergelimpangan di atas
lantai yang sejuk. Dan apabila salah seorang daripada penumpang pergi
menanyakan mengenai perkara ini, penumpang tersebut dimarahi oleh pegawai stesen.
Beginilah sikap
segelintir pegawai-pegawai di mana kita sebagai orang awam terutama pengguna
tidak diberi layanan yang sepatutnya. Bukan susah sebenarnya, pihak stesen
sebenarnya boleh memaklumkan kepada penumpang bahawasanya kereta api mengalami
kerosakan dan tidak membiarkan kami menunggu dan terus menunggu tanpa khabar
berita. Kalau ada dalam kalangan penumpang yang mengalami kecemasan, bukankah
itu telah menyusahkan penumpang tersebut.
Oleh hal demikian,
dalam apa jua yang kita lakukan, sekiranya kita ada maklumat mengenai sesuatu
perkara, molek kiranya kita menyebarkannya untuk kepentingan masyarakat. Kita janganlah
bersikap pentingkan diri sendiri dengan menyusahkan orang lain. Kerana, akan
ada masanya kita memerlukan pertolongan orang lain juga.
No comments:
Post a Comment