Jangan pandang remeh! Walaupun
hanya dua perkataan untuk mengungkapkannya, perkataan “Terima Kasih” mampu
memberi impak yang tinggi kepada penerimanya. Kalau seseorang itu berada dalam
keadaan yang marah, apabila mendengar perkataan ini, hati mereka akan merasa
tenang dan perasaan marahnya itu akan berkurang.
Malangnya, masyarakat
semakin susah untuk membuka mulut dan mengungkapkannya. Perkara ini telah
menggambarkan bahawa nilai kesopanan dalam masyarakat kian terhakis. Mungkin
ada yang beranggapan, senyum mampu membawa maksud berterima kasih. Namun, pada
pandangan saya jika senyum dan ditambah pula dengan ucapan terima kasih,
nescaya nilainya akan bertambah dan rasanya lebih tinggi.
Saya juga memiliki
pengalaman mengenai ucapan terima kasih ini. Bukan bermaksud hendak meninggi
diri atau bangga diri, Cuma saya berasa sedikit terkilan apabila pertolongan
yang diberikan itu dibuat endah tidak endah sahaja. Saya tidak mengharapkan
apa-apa, mungkin sekadar ucapan terima kasih mampu menghilangkan rasa penat diri.
Namun, ucapan terima kasih tidak terkeluar dari mulut mereka malah, mereka
dengan tidak segan silu melakukan lagi perbuatan itu dan memaksa saya untuk
membersihkannya.
Namun, menyalahkan
mereka sepenuhnya juga tidak wajar. Mungkin perkara ini tidak dititikberatkan
di dalam kehidupan mereka. Oleh hal demikian, untuk memastikan masyarakat hari
ini terutama generasi muda memiliki dan mengamalkan sifat “berterima kasih”,
kerajaan perlu mempergiatkan usaha untuk amalan ini. Salah satu cara yang boleh
dilakukan ialah, menerapkan dengan lebih banyak dalam persekitaran sekolah. Jika
diguna pakai di sekolah, ia boleh membentuk sahsiah murni dalam kalangan generasi
muda. Dan seterusnya meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka.
Jadikanlah institusi
sekolah atau rumah sebagai satu pentas awal membuat latihan. Saya percaya, jika
selalu dipraktikkan, tiada sebab hasrat melahirkan golongan berbudi bahasa akan
gagal. Apa yang penting, mulakan langkah awal dan usaha bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment