Kita sedari bahawa
bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan kita seharian. Tanpa adanya
bahasa, kita tidak mungkin dapat berkomunikasi dengan lancar. Dalam konteks
negara Malaysia, bahasa Melayu telah membuktikan kemampuannya dalam menyatukan
seluruh bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan pada
tahun 1957. Bahasa Melayu itu sendiri telah menjadi lambang jati diri buat
seluruh warga Malaysia. Melalui bahasa ini jugalah, perpaduan dan pembinaan
negara serta pengantar ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan.
Dalam melahirkan
komunikasi yang lebih baik, salah satu ciri yang diperlukan ialah kesantunan
dalam berbahasa dan juga perlakuan kita. Jika kita mengamalkan kesantunan ini,
sudah pasti sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita akan merasa gembira. Hal ini
kerana, kesantunan dalam konteks yang lebih luas, tidak sahaja merujuk kepada
kesantunan berbahasa semata-mata bahkan merujuk juga aspek nonverbal seperti
yang saya tuliskan di atas. Tingkah laku seperti mimik muka dan nada suara
memainkan peranan penting dalam memastikan komunikasi dan bahasa yang kita
gunakan itu dapat diterima atau tidak oleh seseorang.
Dalam masyarakat Melayu,
kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosiobudaya masyarakat yang
berpegang pada adat resam, malah diperkukuhkan lagi oleh pegangan agama Islam
yang dianuti. Hal ini dapat kita lihat dalam satu perbilangan adat yang ada
menyebutkan bahawa;
“ Adat bersendikan
hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.
Hal ini menggambarkan
segala apa yang kita lakukan, kita perlu mempunyai satu garis panduan dan garis
panduan yang sebenar adalah berdasarkan kitab Allah, iaitu Al-Quran dan Sunnah
Rasulullah S.A.W.
Jika kita melihat
kepada Sistem Sapaan Ervin-Trip, dalam satu kajian yang dibuat, beliau ada
menyebut kajian tersebut mengenai komponen interaksi bersemuka (face-to-face)
sebagaimana yang berlaku berkait dengan struktur formal bahasa. Komponen ini
termasuklah peserta, suasana, fungsi interaksi, tajuk, pesanan dan saluran.
Sistem Sapaan
Ervin-Trip mempunyai 3 rumus penting, iaitu
a) Rumus Alternasi
- Seseorang akan
memilih salah satu daripada pasangan seperti antara kanak-kanak atau orang
dewasa, diketahui nama atau tidak, bergelar atau tidak, tua atau muda, di dalam
suasana status yang menonjol atau tidak.
b) Rumus Kejadian
Bersama
- Sesuatu rujukan
terhormat mesti disesuaikan dengan kedudukan orang yang disapa. Dalam bahasa Melayu,
rujukan kehormat yang mesti dipakai pada tempat yang telah ditetapkan.
c) Rumus Perurutan
- Terdapat susunan
kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang
disandang dan selepas itu nama peribadi yang disapa. Gelaran yang dimiliki,
jika lebih daripada satu, perlu diatur mengikut kaedah yang biasa digunakan.
Oleh hal demikian, dapatlah
kita ketahui bahawa setiap apa yang kita lakukan mestilah mengikut situasi yang
betul. Kita tidak boleh menggunakan sesuatu perkataan itu bukan pada tempatnya
kerana penggunaannya akan mengakibatkan kecelaruan kepada kesopanan dan
kesantunan bahasa tersebut.
No comments:
Post a Comment