Bila masuk hari Isnin,
hatiku sentiasa rasa berdebar. Mana tidaknya, pada hari Isnin merupakan hari
untuk kami mempraktikkan ilmu pedagogi terutama dalam aspek pengajaran dalam
bilik darjah. Pada masa inilah, segala kekurangan dan kelebihan kami akan
dinilai.
Ya, pada hari ini, dua
kumpulan telah berjaya melakukan tugasan makro bagi kali pertama. Dua kumpulan
ini dilihat lebih berkeyakinan berbanding kumpulan-kumpulan yang lepas. Mungkin
juga disebabkan banyak kumpulan yang sudah selesai melakukan tugasan ini, dan
segala komen serta penilaian yang dibuat telah diamati oleh dua kumpulan pada
hari ini.
Banyak juga pengalaman
baru yang kami dapat timba pada hari ini. Bagi saya sendiri, susah atau senang
untuk mengajar, saya tidak dapat untuk putuskan. Ada kalanya, saya merasakan
mengajar itu cukup mudah, dan ada kalanya, saya merasakan susah untuk mengajar
terutama untuk memahamkan pelajar tentang sesuatu konsep.
Namun, bukan tentang
tugasan makro yang ingin diceritakan, tetapi tabiat berbual atau bersembang
semasa sesi pembelajaran. Saya pasti, setiap orang ada pengalaman bersembang di
dalam kelas. Jika diamati, dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat
universiti, tabiat ini tidak dapat dihapuskan.
Berbalik kepada kelas
pada hari ini, tabiat bersembang ini telah membuatkan hati pensyarah kami sedikit
terkilan. Mana tidaknya, semasa penilaian sedang dibuat, kebanyakan pelajar di
dalam kelas sibuk untuk bersembang dan tidak mengambil perhatian terhadap apa
yang cuba disampaikan oleh penilai.
Pensyarah kami terkilan
kerana apa yang dinilai itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk kami agar kami
mengetahui di mana kekurangan supaya dapat diperbetulkan sebelum tibanya waktu
praktikum nanti.
Orang tua ada menyebut,
“jangan menyampuk ketika orang tua sedang bercakap”. Maksudnya di sini, kita
perlu dengar dengan teliti supaya apa yang disampaikan dapat kita fahami. Begitu
juga dengan situasi di dalam kelas pada hari ini. Diharapkan, selepas ini, kita
mampu untuk menghormati dan memberi peluang yang sebetulnya supaya ilmu yang
disampaikan dapat kita terima dengan baik dan diberkati oleh-NYA.
Kenangan ni syam..nanti blh crita kt anak murid masa pratikel
ReplyDelete