Monday, 30 April 2012

#36 Perancangan Bahasa


Kajian perancangan bahasa ialah kajian tentang usaha-usaha yang dirancang untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah bahasa masyarakat. Hal ini demikian kerana, perkembangan pesat dalam dunia pada hari ini memerlukan satu perancangan yang teliti agar masyarakat mampu mengungkapkan sesuatu perkataan dengan betul serta merujuk sesuatu objek dengan betul. Kajian ini meliputi semua aspek termasuklah sistem tulisan dan penyemakan semula sistem-sistem ejaan secara menyeluruh.

Istilah perancangan bahasa (language planning) itu mula digunakan oleh E. Haugen (1959) di dalam penulisannya apabila dia merancangkan bahasa Norway. Dalam usaha tersebut, Haugen telah mendefinisikan perancangan bahasa sebagai merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu, mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut untuk penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan, pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa berkenaan.

Oleh hal demikian, pada hari ini perancangan bahasa telah menjadi satu aktiviti yang penting bagi negara-negara yang ingin membentuk identiti baru. Dengan adanya perancangan bahasa ini, manusia mampu meletakkan nilai tertentu untuk bahasa dan merancangkan langkah-langkah yang terbaik akan sesuatu yang dirancang ini dapat diterima oleh masyarakat penutur.

Dalam konteks negara Malaysia, perancangan bahasa dapat dilihat dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di mana, perancangan taraf bahasa melibatkan upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada dasar negara yang dikenal sebagai Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu dua daripada dasar penting dalam proses pembinaan negara.

Oleh itu, usaha-usaha perancangan bahasa perlu diperhebat agar dapat meningkatkan keupayaan bahasa-bahasa terutama bahasa Melayu agar dapat mengungkapkan budaya ilmu yang semakin meningkat. Setiap masa ilmu dan budaya sesuatu bangsa itu berkembang dan memerlukan bahasa yang lebih tinggi, mampu dan anjal untuk menampung perkembangan budaya tersebut.



Rujukan:

Joshua A. Fishman: Penterjemah Alias Mohd Yatim (1991). Sosiologi Bahasa: Satu Pendekatan Sains Kemasyarakatan antara Disiplin Terhadap Bahasa dalam Masyarakat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
.
Prof. Emeritus Abdullah Hassan. (2007). Teori Perancangan Bahasa. Diperoleh 30 April 2012, pada http://sosiolinguistik.blogspot.com/2007/08/teori-perancangan-bahasa.html

Friday, 27 April 2012

#35 Salam, A'kum @ Assalamualaikum

..“Salam, kowg pny vdeo ad pd aku. Nnt maila anta pndrive d box **-*-*”


Pada hari ini, saya telah menerima satu pesanan yang dihantar melalui ruangan mesej di ‘facebook’.  Apakah kesalahan yang terdapat dalam pesanan ini? Kalau kita perhatikan, pesanan ini mengandungi pencampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Selain itu, pesanan ini juga menggunakan singkatan perkataan. Namun, bukan aspek ini yang ingin saya timbulkan. Saya ingin menarik perhatian para pembaca tentang perkataan “Salam”.

Apa yang salah dengan perkataan “Salam”? Perkataan ini sering kali kita gunakan terutama apabila menghantar pesanan ringkas (SMS). Salah satu perkataan lain yang sering kali digunakan ialah “A’kum”. Kedua-dua perkataan ini sebenarnya tidak sesuai untuk digunakan untuk membawa maksud menyampaikan salam.

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah: “Salam (selamat tinggal)”. Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk). (QS. 43:89).

Melalui ayat di atas, dapat kita nyatakan bahawa perkataan “Salam” lebih sesuai untuk menunjukkan selamat tinggal dan bukan untuk membawa maksud menyampaikan salam, iaitu sejahteralah ke atas kamu.

Perkataan “A’kum” pula merupakan perkataan yang sering kali digunakan untuk menghantar pesanan ringkas. Mungkin mengandaikan perkataan “Assalamualaikum” itu panjang, maka dipendekkan perkataan ini kepada “A’kum”. Sedarkah kita apakah sebenarnya maksud di sebalik perkataan ini? “A’kum” adalah singkatan kepada “Avde Kokhavim U Mazzalot” yang bermaksud hamba-hamba binatang dan orang-orang sesat. Selain itu, perkataan “A’kum” juga adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi dan untuk orang-orang bukan Yahudi yang bermaksud “Binatang” dalam bahasa Ibrani.

Sunah Rasulullah S.A.W, antaranya tentang bab memberi salam. Baginda memberi salam dengan lafaz “Assalamualaikum” dan menjawab salam dari para sahabat dengan salam yang penuh “Waalaikumussalam warahmatulallah hi wabarakatuh”

Jika perkataan Assalamualaikum itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan “As Salam”, iaitu sama makna dengan Assalamualaikum. Oleh hal demikian, kita perlulah berhati-hati ketika menggunakan, memilih atau menulis setiap perkataan. Janganlah kita semata-mata menggunakan sesuatu perkataan tanpa mengetahui maksud sebenar di sebalik perkataan itu, sama ada perkataan itu membawa maksud yang baik atau sebaliknya.


Thursday, 26 April 2012

#34 Tiket dan Hebahan

Hari ini, saya telah pergi ke stesen kereta api untuk membeli tiket. Malangnya, hajat saya untuk membeli tiket pada hari ini tidak kesampaian kerana tiket sudah habis dijual. Saya sedikit terkejut kerana, kebiasaannya pada waktu pengajian begini, tiket tidak pernah habis. Namun, pada hari ini tiket habis dijual. Mungkinkah disebabkan hari Selasa yang bakal muncul merupakan hari cuti umum, iaitu untuk meraikan hari pekerja. Jadi, pelajar mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan menaiki perkhidmatan kereta api.

Semasa berada di stesen ini, saya teringat kembali peristiwa yang berlaku sebelum cuti pertengahan semester yang lalu di mana kami terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum tibanya kereta api yang dijadualkan tiba sekitar pukul 12.30 pagi. Kelewatan yang berlaku ini berpunca daripada kerosakan yang dialami oleh enjin kereta api tersebut.

Keadaan stesen pada malam ini agak sesak. Akibat kelewatan yang dialami, para penumpang mula mengeluarkan makanan yang dibawa dan menjamu selera di stesen sambil duduk bersila. Ada juga dalam kalangan penumpang yang mula mencari sudut untuk tidur.

Apa yang kami kesalkan pada malam itu ialah, tidak ada khabar berita dari pihak stesen yang menyatakan kereta api mengalami kerosakan. Kami dibiarkan tidur bergelimpangan di atas lantai yang sejuk. Dan apabila salah seorang daripada penumpang pergi menanyakan mengenai perkara ini, penumpang tersebut dimarahi oleh pegawai stesen.

Beginilah sikap segelintir pegawai-pegawai di mana kita sebagai orang awam terutama pengguna tidak diberi layanan yang sepatutnya. Bukan susah sebenarnya, pihak stesen sebenarnya boleh memaklumkan kepada penumpang bahawasanya kereta api mengalami kerosakan dan tidak membiarkan kami menunggu dan terus menunggu tanpa khabar berita. Kalau ada dalam kalangan penumpang yang mengalami kecemasan, bukankah itu telah menyusahkan penumpang tersebut.

Oleh hal demikian, dalam apa jua yang kita lakukan, sekiranya kita ada maklumat mengenai sesuatu perkara, molek kiranya kita menyebarkannya untuk kepentingan masyarakat. Kita janganlah bersikap pentingkan diri sendiri dengan menyusahkan orang lain. Kerana, akan ada masanya kita memerlukan pertolongan orang lain juga.


Wednesday, 25 April 2012

#33 Pekerjaan


Hari ini, saya asyik melihat orang yang sedang memotong rumput. Nampak seronok melihat mereka bertungkus-lumus memotong rumput untuk kesenangan orang lain. Saya sendiri sudah lama tidak memegang mesin memotong rumput. Rasa rindu untuk menggunakannya. Sambil memerhatikan gelagat pekerja yang sedang memotong rumput, saya teringat perbualan bersama rakan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

Apa yang kami bualkan adalah mengenai kehidupan di dunia ini. Saya menanyakan pandangan beliau mengenai orang yang bekerja sebagai tukang sapu, memotong rumput di lebuh raya, dan sebagainya yang menjurus kepada pekerjaan yang dilakukan oleh golongan sederhana.

Pendapat yang diberikan adalah sama dengan pendapat saya. Beliau menyifatkan, setiap orang dalam dunia ini mempunyai tanggungjawab yang tersendiri yang perlu diselesaikan. Seperti seorang pekerja yang memotong rumput misalnya, tanpa mereka, sudah pasti di tepi-tepi jalan raya akan kelihatan semak samun yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya jika tidak diuruskan dengan baik.

Persoalan yang timbul adalah, pada hari ini, bukan semua tetapi kebanyakan masyarakat terutama yang terdiri daripada golongan kelas atasan memandang mereka yang bekerja sebegini dengan pandangan yang jijik. Bagi mereka, orang sebegini tidak layak berada atau makan bersama.

Bagi saya sendiri, saya cukup menghormati setiap orang yang melakukan kerja sebegini. Hal ini demikian kerana, kerana kesanggupan mereka lah, kita dapat hidup dalam suasana yang baik. Oleh hal demikian, walau apa jua pekerjaan yang kita buat, lakukanlah dengan hati yang ikhlas. Bila kita ikhlas melakukan kerja, sudah pasti akan ada orang yang akan berterima kasih dengan keikhlasan kita.


Tuesday, 24 April 2012

#32 Ucapan Terima Kasih Itu Mulia

Jangan pandang remeh! Walaupun hanya dua perkataan untuk mengungkapkannya, perkataan “Terima Kasih” mampu memberi impak yang tinggi kepada penerimanya. Kalau seseorang itu berada dalam keadaan yang marah, apabila mendengar perkataan ini, hati mereka akan merasa tenang dan perasaan marahnya itu akan berkurang.

Malangnya, masyarakat semakin susah untuk membuka mulut dan mengungkapkannya. Perkara ini telah menggambarkan bahawa nilai kesopanan dalam masyarakat kian terhakis. Mungkin ada yang beranggapan, senyum mampu membawa maksud berterima kasih. Namun, pada pandangan saya jika senyum dan ditambah pula dengan ucapan terima kasih, nescaya nilainya akan bertambah dan rasanya lebih tinggi.

Saya juga memiliki pengalaman mengenai ucapan terima kasih ini. Bukan bermaksud hendak meninggi diri atau bangga diri, Cuma saya berasa sedikit terkilan apabila pertolongan yang diberikan itu dibuat endah tidak endah sahaja. Saya tidak mengharapkan apa-apa, mungkin sekadar ucapan terima kasih mampu menghilangkan rasa penat diri. Namun, ucapan terima kasih tidak terkeluar dari mulut mereka malah, mereka dengan tidak segan silu melakukan lagi perbuatan itu dan memaksa saya untuk membersihkannya.

Namun, menyalahkan mereka sepenuhnya juga tidak wajar. Mungkin perkara ini tidak dititikberatkan di dalam kehidupan mereka. Oleh hal demikian, untuk memastikan masyarakat hari ini terutama generasi muda memiliki dan mengamalkan sifat “berterima kasih”, kerajaan perlu mempergiatkan usaha untuk amalan ini. Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah, menerapkan dengan lebih banyak dalam persekitaran sekolah. Jika diguna pakai di sekolah, ia boleh membentuk sahsiah murni dalam kalangan generasi muda. Dan seterusnya meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka.

Jadikanlah institusi sekolah atau rumah sebagai satu pentas awal membuat latihan. Saya percaya, jika selalu dipraktikkan, tiada sebab hasrat melahirkan golongan berbudi bahasa akan gagal. Apa yang penting, mulakan langkah awal dan usaha bersungguh-sungguh.


Monday, 23 April 2012

#31 Kesantunan Berbahasa Tonggak Tamadun Bangsa


Kita sedari bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan kita seharian. Tanpa adanya bahasa, kita tidak mungkin dapat berkomunikasi dengan lancar. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa Melayu telah membuktikan kemampuannya dalam menyatukan seluruh bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Bahasa Melayu itu sendiri telah menjadi lambang jati diri buat seluruh warga Malaysia. Melalui bahasa ini jugalah, perpaduan dan pembinaan negara serta pengantar ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan.

Dalam melahirkan komunikasi yang lebih baik, salah satu ciri yang diperlukan ialah kesantunan dalam berbahasa dan juga perlakuan kita. Jika kita mengamalkan kesantunan ini, sudah pasti sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita akan merasa gembira. Hal ini kerana, kesantunan dalam konteks yang lebih luas, tidak sahaja merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata bahkan merujuk juga aspek nonverbal seperti yang saya tuliskan di atas. Tingkah laku seperti mimik muka dan nada suara memainkan peranan penting dalam memastikan komunikasi dan bahasa yang kita gunakan itu dapat diterima atau tidak oleh seseorang.

Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosiobudaya masyarakat yang berpegang pada adat resam, malah diperkukuhkan lagi oleh pegangan agama Islam yang dianuti. Hal ini dapat kita lihat dalam satu perbilangan adat yang ada menyebutkan bahawa;

“ Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Hal ini menggambarkan segala apa yang kita lakukan, kita perlu mempunyai satu garis panduan dan garis panduan yang sebenar adalah berdasarkan kitab Allah, iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Jika kita melihat kepada Sistem Sapaan Ervin-Trip, dalam satu kajian yang dibuat, beliau ada menyebut kajian tersebut mengenai komponen interaksi bersemuka (face-to-face) sebagaimana yang berlaku berkait dengan struktur formal bahasa. Komponen ini termasuklah peserta, suasana, fungsi interaksi, tajuk, pesanan dan saluran.

Sistem Sapaan Ervin-Trip mempunyai 3 rumus penting, iaitu

a) Rumus Alternasi
- Seseorang akan memilih salah satu daripada pasangan seperti antara kanak-kanak atau orang dewasa, diketahui nama atau tidak, bergelar atau tidak, tua atau muda, di dalam suasana status yang menonjol atau tidak.

b) Rumus Kejadian Bersama
- Sesuatu rujukan terhormat mesti disesuaikan dengan kedudukan orang yang disapa. Dalam bahasa Melayu, rujukan kehormat yang mesti dipakai pada tempat yang telah ditetapkan.

c) Rumus Perurutan
- Terdapat susunan kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang disandang dan selepas itu nama peribadi yang disapa. Gelaran yang dimiliki, jika lebih daripada satu, perlu diatur mengikut kaedah yang biasa digunakan.

Oleh hal demikian, dapatlah kita ketahui bahawa setiap apa yang kita lakukan mestilah mengikut situasi yang betul. Kita tidak boleh menggunakan sesuatu perkataan itu bukan pada tempatnya kerana penggunaannya akan mengakibatkan kecelaruan kepada kesopanan dan kesantunan bahasa tersebut.


Friday, 20 April 2012

#30 Yang Mana Lebih Penting?

Pada zaman sekarang, sesiapa yang tidak tahu untuk menggunakan peralatan teknologi seperti telefon bimbit, komputer dan sebagainya boleh dianggap ketinggalan zaman. Penggunaan teknologi ini telah menjadi satu keperluan terutama telefon bimbit. Boleh dikatakan rata-rata masyarakat pada hari ini mempunyai sekurang-kurangnya dua buah telefon bimbit setiap orang.

Kita menyedari bahawa perkembangan teknologi ini adalah untuk memudahkan komunikasi berlaku. Namun begitu, adakah kita benar-benar memahami cara menggunakan teknologi ini, terutama telefon bimbit?

Pada pandangan saya, masih ramai yang tidak pandai menggunakannya. Kenapa saya berkata begini? Saya faham dan bersetuju bahawa telefon penting dalam hidup kita untuk menyampaikan maklumat dan komunikasi. Namun, kita tidak boleh menggadaikan nyawa kita semata-mata hanya untuk menjawab atau membalas panggilan terutamanya semasa memandu.

Saya pasti perkara ini sering berlaku dalam kalangan pemandu. Saya juga mengalami perkara yang sama. Tetapi bukan bermaksud saya yang menggunakan telefon semasa memandu. Pada malam ini, saya menunggang motosikal seperti biasa. Sampai satu ketika, saya berasa hairan dengan perlakuan sebuah kereta di hadapan yang mana perlahan dan ada ketikanya bergerak ke kiri dan ke kanan. Saya mengambil keputusan untuk memotong kereta tersebut. Semasa cuba memotong kereta tersebut, saya mendapati pemandu tersebut telah menggunakan telefon semasa memandu.

Pada hemah saya, yang mana lebih penting, nyawa atau telefon. Andai ingin menggunakan atau bercakap semasa memandu, silalah menggunakan “handfree” ataupun berhenti terlebih dahulu. Itu lebih selamat daripada menggunakan terus semasa memandu. Sesaat terleka, segala-galanya akan musnah. Oleh itu, fikirlah terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu perkara. Janganlah kita menyesal di kemudian hari.





Thursday, 19 April 2012

#29 Diam Itu Tanda Setuju. Betul ke?

Orang kata, diam itu tanda setuju. Betul ke? Kalau zaman dahulu, perkara ini mudah kita perhatikan. Hal ini kerana, jika seseorang anak dara dirisik atau dipinang oleh seorang lelaki, anak dara itu hanya akan berdiam diri dan tersenyum sahaja. Dan pada ketika itulah ibu bapa akan mengetahui yang anak dara mereka bersetuju dengan peminangan itu. Begitulah komunikasi masyarakat dahulu kala dalam membuat keputusan terutama dalam soal perkahwinan.

Tetapi, pada zaman sekarang, situasi telah berubah. Apabila seseorang itu diam, pelbagai persoalan bermain-main di fikiran. Adakah mereka betul-betul faham atau tidak dengan segala apa yang berlaku.

Contoh yang paling mudah dan jelas ialah, situasi di dalam bilik darjah. Apabila guru menanyakan kepada pelajar sama ada memahami pelajaran atau tidak. Dari sini, kita dapat lihat ada pelajar yang mendiamkan diri. Apabila situasi ini berlaku, kita sukar untuk menterjemah apa yang difikirkan oleh pelajar tersebut sama ada memahami atau tidak.

Oleh hal demikian, kita seharusnya lebih kreatif untuk mentafsir perlakuan sebegini supaya apa yang kita tafsirkan tidak memberi kesan kepada individu tersebut.


Wednesday, 18 April 2012

#28 Satu Tetapi Banyak


Semua bahasa bergantung pada makna dalam perkataan dan ayat. Makna tidak mungkin dapat dikaji secara formal atau secara terasing daripada konteks atau teks. Hal ini demikian kerana, setiap perkataan yang ditulis mahupun yang diujarkan itu mempunyai makna yang tersurat dan tersirat.

Menurut Za’ba (2000:264) apabila kita bercakap atau menulis, kita akan memakai susunan perkataan yang sekumpul-sekumpul dengan tentu hujung pangkalnya dan tempat berhentinya, serta memberi faham yang sempurna tiap-tiap sekumpul kata yang dikatakan itu. Tiap-tiap sekumpul perkataan yang sempurna maksudnya demikian tetaplah tak dapat tidak ia mencakapkan dari hal sesuatu benda dan menyatakan apa hal benda itu.

Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya mengambil mudah tentang hal ini terutama dalam berkomunikasi. Hal ini demikian kerana, sesuatu ujaran itu akan menyebabkan perselisihan jika tidak difahami dengan betul. Contoh;

“makan mak”

Apa yang kita fahami dari contoh di atas. Jika seseorang itu lurus dan bendul, dia akan menyatakan bahawa anak itu ingin memakan ibunya. Namun, jika kita berfikir dan mendengar ayat tersebut dengan intonasinya, mungkin apa yang kita fahami akan berubah seperti ayat tersebut membawa maksud mengajak ibunya untuk makan bersama.

Perkara ini juga berlaku sebentar tadi. Apabila seorang kawan menyatakan kepada saya “gelap Syam”. Saya mulanya berfikir adakah beliau ingin menyatakan saya seorang yang gelap. Namun, apa yang beliau cuba sampaikan ialah, suasana sekarang gelap.

Oleh hal demikian, makna adalah penting dalam penggunaan dan pemakaian bahasa. Tanpa makna, ujaran atau bunyi-bunyi bahasa itu tidak berfungsi.


Tuesday, 17 April 2012

#27 Rasa? Betul ke.

Pada hari ini, pengajaran makro diteruskan seperti biasa. Seperti biasa, selepas pengajaran makro dilakukan, sesi penilaian akan dibuat supaya pengajar mampu menyedari kekurangan dalam pengajaran yang dibuat. Dalam penilaian tersebut, kami diingatkan supaya memilih perkataan yang betul-betul sesuai dengan makna yang ingin disampaikan.

Kesalahan ketara yang sering kami lakukan adalah penggunaan perkataan ‘rasa’. Contohnya, ‘saya rasa, guru tidak …’, ‘saya rasa, sepatutnya mereka…’ dan sebagainya.

Perkataan ‘rasa’ lebih sesuai dirujuk kepada penggunaan lidah untuk merasa sesuatu. Dalam contoh di atas, penggunaan ‘rasa’ tidak sesuai kerana guru tidak boleh kita rasa. Seandainya kita menggunakan kata ‘rasa’ itu, bererti kita ingin menjilat guru tersebut.

Oleh hal demikian, lebih elok ditukarkan perkataan ‘rasa’ kepada perkataan lain yang lebih sesuai. Sebagai contoh, ‘saya perhatikan, guru tidak…’, ‘pada pandangan saya, sepatutnya mereka…’.

Pemilihan perkataan yang sesuai sangat perlu terutama dalam komunikasi lisan dan juga bertulis. Hal ini demikian kerana, kesilapan dalam pemilihan perkataan akan memberi kesan kepada makna yang ingin disampaikan di dalam sesuatu komunikasi tersebut.


Monday, 16 April 2012

#26 Ubat Gigi dan Cincin

Hari ini, saya mencuba sesuatu yang baru. Orang tua dahulu pernah menyatakan bahawa untuk bersihkan cincin, gunakanlah ubat gigi. Saya sangka apa yang diberitahu tidak betul. Hal ini demikian kerana, saya beranggapan bahawa cincin hanya boleh dibersihkan dengan cecair khas yang khusus agar cincin itu tidak rosak.

Untuk membuktikan teori ini, saya mengambil sebentuk cincin dan cuba membersihkannya dengan ubat gigi. Selama lima minit bermain dengan ubat gigi dan cincin, akhirnya saya membasuh cincin tersebut. Alangkah terkejutnya apabila melihat cincin yang dahulunya hitam akibat peluh dan kotoran akhirnya hilang. Kini, cincin saya telah kembali bersinar.

Apa yang ingin saya maksudkan di sini, sekiranya kita tahu mengenai sesuatu, kita perlu melakukannya untuk mendapatkan hasil. Selagi kita tidak melakukannya, kita tidak boleh mengeluarkan sesuatu andaian mengenainya. Usahalah dengan bersungguh-sungguh.

Dan seperkara lagi, jangan mudah memandang ringan terhadap pandangan dan pendapat orang lain. Mungkin ada kebenaran di sebalik pandangan yang diberikan. Hormatilah pandangan mereka, dengan itu orang lain juga akan menghormati pandangan kita.


Friday, 6 April 2012

#25 Bahasa dan Simbol

Irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitulah juga bahasa dan simbol. Jika kita perhatikan di sekeliling kita, banyak simbol yang digunakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Sebagai contoh, simbol-simbol yang diletakkan di sepanjang jalan untuk memberi peringatan kepada pemandu supaya berhati-hati. Walaupun dengan menggunakan simbol, kita dapat memahami mesej yang ingin disampaikan.

Walau bagaimanapun, tidak semua yang memahami simbol-simbol yang diletakkan sebagai panduan buat kita. Seandainya ramai yang memahami simbol-simbol di sepanjang jalan, sudah pasti masalah kemalangan dapat dikurangkan kerana semua pengguna jalan raya akan berhati-hati semasa memandu.

Namun, bukan mengenai papan-papan tanda di tepi jalan yang ingin diperkatakan, tetapi mengenai tanda dan simbol yang diletakkan di dalam bilik kuliah. Tanda apa yang sering kali diletakkan di dalam bilik kuliah? Sudah semestinya tanda dan simbol dilarang makan di sini.

Setiap kali saya masuk ke dalam bilik kuliah, saya dapati keadaan bilik kuliah kotor dengan pembalut makanan dan botol air minuman. Kenapa perkara ini masih lagi berlaku sedangkan di pintu telah ditampalkan dengan tanda ini agar para pelajar dapat melihatnya dan di sebelah dalam bilik kuliah, amaran ini ditegaskan lagi dengan ayat “dilarang makan dan minum di dalam bilik kuliah ini”.

Perkara sebegini sering kali berlaku dalam kehidupan kita. Walau di mana kita berada, kita sering mengalami masalah yang sama. Tidak faham atau buat-buat tidak faham yang telah menyebabkan amalan ini terus dilakukan.


Thursday, 5 April 2012

#24 Teguran

“Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain.”

Ayat yang saya tulis di atas adalah antara kata-kata cerdik pandai tentang orang yang menegur dan ditegur. Dalam kehidupan kita seharian, kita tidak terlepas melakukan kesilapan dan kesalahan. Oleh hal demikian, kita memerlukan teguran agar dapat kita membaiki kelemahan yang ada pada diri kita.

Teguran secara asasnya bersifat membina dan ada masanya teguran itu boleh menjadi satu benda yang pedas kepada orang yang ditegur. Teguran yang membina kebiasaannya bersifat lembut, spontan, menyenangkan dan apa yang ditegur itu dapat kita terima dengan hati yang terbuka. Sementara itu, teguran yang pedas biasanya menyakitkan, menyindir dan membuatkan hati kita mudah melenting.

Saya juga pernah menegur dan juga ditegur. Tapi kali ini, saya merasakan teguran yang diberikan kepada saya agak keras sedikit berbanding kebiasaannya. Saya seakan-akan tidak berani untuk mendongakkan kepala apabila ditegur. Pada pandangan saya, teguran itu sudah tidak menjadi satu teguran apabila orang yang menegur itu seperti sedang memarahi saya.

Sepatutnya, teguran itu boleh dilakukan dengan lebih mesra agar apa yang ingin disampaikan dapat diterima. Saya mengakui bahawasanya teguran bersifat keras juga diperlukan dalam membantu membentuk diri untuk menjadi seorang guru yang baik. Namun, apabila teguran itu kelihatan seperti sedang memarahi seseorang, teguran yang dibuat itu akan disambut dengan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Walau bagaimanapun, saya berterima kasih kepada beliau kerana sanggup menegur kesilapan yang saya lakukan.

Apa yang pasti, setiap orang yang menegur pasti juga sedia ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya tiga jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri.

“Sampaikanlah yang benar walaupun ianya pahit…”





Wednesday, 4 April 2012

#23 Forum Bahasa Melayu 2012


Alhamdulillah, pada hari ini saya berkesempatan menghadiri satu forum, iaitu FORUM BAHASA MELAYU 2012: KEBERKESANAN PENDEKATAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DAN MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS (MBMMBI) DALAM KONTEKS PENDIDIKAN DI SEKOLAH anjuran Exco Akademik dan Kerjaya, Jawatankuasa Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (JMKLK) 2011/2012. Forum ini telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Forum yang diadakan ini sedikit sebanyak telah meningkatkan kefahaman saya tentang kepentingan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Kita sedia maklum bahawasanya bahasa Melayu telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Oleh hal demikian, kita sebagai warganegara Malaysia perlulah mengangkat martabat bahasa Melayu setinggi yang mungkin.

Dalam forum ini juga, saya tertarik kepada satu ulasan yang dibuat oleh seorang ahli panel dalam menjawab persoalan yang dikemukakan. Beliau ialah Prof. Dr. Teo Kok Seong, merupakan satu-satunya ahli panel berbangsa Cina. Daripada ulasan yang dibuat, beliau telah menyatakan bahawa bahasa Melayu itu sendiri telah memberikan tiga nilai utama kepada bangsa Melayu.

Pertamanya ialah bahasa Melayu menjadi asas ilmu pengetahuan. Maksudnya, bahasa Melayu itu perlu didahulukan penggunaannya berbanding bahasa-bahasa lain kerana bahasa Melayu itu lebih dekat dengan masyarakat Malaysia.

Kedua, adalah sebagai khazanah budaya Melayu. Kita perlu mengetahui bahawa tanpa bahasa Melayu, kita tidak akan mengetahui budaya Melayu dengan sedalamnya.

Dan yang ketiga ialah, bahasa Melayu itu dikatakan mempunyai nilai kognisi, iaitu menunjukkan atau mengajarkan cara orang Melayu memproses ilmu. Prof. Teo telah memberi contoh yang mudah berkaitan dengan nilai yang ketiga ini. Beliau telah mengambil contoh apabila seseorang itu sendawa. Jika dalam budaya barat, sendawa merupakan satu perkara yang menjijikkan atau tidak sopan. Oleh itu, apabila seseorang itu sendawa, ‘I’m sorry’ akan diucapkan untuk memohon maaf di atas kelakuan itu.

Namun perkara ini berbeza dengan adab dan amalan kita sebagai orang Melayu dan beragama Islam. Selepas sendawa, lebih afdal jika diucapkan ‘Alhamdulillah (segala puji bagi Allah)’ kerana sendawa itu adalah satu nikmat yang diberikan oleh-Nya kepada kita.

Apa yang menariknya, walaupun Prof. Teo merupakan seorang yang berbangsa Cina, namun pengetahuan beliau tentang adab, pemikiran dan nilai Melayu sangat tinggi. Semangatnya juga berkobar-kobar dalam memperjuangkan identiti orang Timur. Semoga perjuangannya berterusan dan disambut serta disokong oleh orang-orang Melayu terutama generasi muda.



Tuesday, 3 April 2012

#22 Praanggapan


Apakah yang dimaksudkan dengan praanggapan? Mungkin perkataan ini sukar untuk difahami. Namun, jika perkataan ini ditukar ganti dengan perkataan andaian awal, saya percaya semua orang akan mengetahui dan memahaminya.

Dalam kehidupan kita seharian, kita tidak akan terlepas dari membuat andaian awal atau praanggapan ini. George Yule (1996: 25) menyatakan bahawa praanggapan merupakan sesuatu yang penutur mengandaikan terjadinya sesuatu perkara sebelum membuat penyebutan. Maksudnya, kita sering kali membuat andaian awal sebelum melakukan sesuatu atau mendapatkan sesuatu.

Persoalannya, adakah andaian atau praanggapan yang kita buat ini sentiasa menepati dengan apa yang kita cuba lakukan. Saya masih mengingati dengan jelas pesanan seorang profesor kepada saya yang ditulisnya di ruangan komen dalam media alternatif, facebook.

Menurut beliau, praanggapan dikenali sebagai mind reading dalam bahasa Inggeris. Perlakuan sebegini tidak begitu sesuai dilakukan kerana praanggapan sahaja tidak memadai, kita seharusnya melakukannya bagi mendapatkan keputusan yang betul dan jelas.

Namun demikian, kerana emosi kita sering mengamalkan praanggapan ini dan kerana emosi jugalah praanggapan yang kita buat berkemungkinan menyebabkan pandangan kita terhadap sesuatu perkara itu akan berubah.

Oleh hal demikian, kita perlulah berfikiran matang dalam menilai dan membuat tanggapan. Dengan itu, kita mampu untuk memahami sesuatu perkara itu sebaik mungkin.




Monday, 2 April 2012

#21 Jenis-Jenis Bahasa Kiasan


Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai murni dan bahasanya. Lihat sahaja kepandaian nenek moyang kita dalam membentuk perkataan-perkataan yang sangat halus untuk menyampaikan nasihat, teguran, pandangan dan sebagainya. Kebiasaannya, masyarakat zaman dahulu mengambil alam sekeliling dan pengalaman mereka sebagai unsur pembentukan peribahasa yang seterusnya bertindak sebagai pedoman kepada masyarakat.

Za’ba membahagikan peribahasa kepada dua jenis, iaitu peribahasa bersifat selapis dan bersifat dua lapis. Peribahasa selapis bererti apa sahaja ungkapan itulah maksudnya. Sifat terus terang tanpa maksud yang terselindung. Peribahasa selapis ini terdiri daripada bidalan, pepatah dan perbilangan, manakala peribahasa dua lapis pula bermaksud pengertian yang dimaksudkan berlainan daripada sesuatu yang dilihat daripada zahirnya.

Peribahasa

Indirawati Zahid (1998: 979), peribahasa merupakan cabang kekayaan bahasa yang dimiliki oleh semua bahasa dan merupakan satu ungkapan yang di dalamnya tersirat makna yang cukup mendalam lagi persis untuk tujuan kelancaran komunikasi. Penggunaan peribahasa mampu membuatkan orang yang dituju tidak mudah merasa tersinggung apabila berkomunikasi. Contohnya:

- Sudah jatuh, ditimpa tangga ( menggambarkan keadaan seseorang yang ditimpa oleh sesuatu kemalangan, kemudian datang pula kemalangan yang lain menimpa ke atas dirinya )

- Bagai kaca terhempas ke batu ( seseorang yang sangat sedih atau kecewa )

Perumpamaan

Nik Hassan Basri (2007: 332), perumpamaan dikenali sebagai simile, iaitu sejenis gaya bahasa perbandingan atau peribahasa yang bersifat perbandingan dua perkara yang sebenarnya berlainan atau perbandingan satu hal dengan sesuatu yang lain tetapi dianggap sama. Selain itu, perumpamaan turut menggunakan perkataan seperti, bagai, bak, ibarat, laksana dan umpama. Contohnya:

- Seperti gergaji dua mata ( seseorang yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan antara dua pihak )

- Seperti aur ditarik songsang ( amat susah menyempurnakan sesuatu pekerjaan yang kurang teratur )

Pepatah

Pepatah merupakan rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan atau perkataan. Contohnya:

- Ada batang, adalah cendawan tumbuh ( ada rezeki walau di mana juga berada )

- Ada sampan, hendak berenang ( orang yang sengaja mencari kesusahan, sedangkan ada cara yang boleh memudahkannya )

Simpulan Bahasa

Abdullah Hassan (1986) mendefinisikan simpulan bahasa sebagai ungkapan yang terjadi dalam rentetan yang sesuai dengan pola frasa bahasa Melayu. Pada umumnya, makna sesuatu simpulan bahasa berbeza sekali daripada makna perkataan yang membentuknya, iaitu tidak ada perkaitan langsung antara rangkaian kata-kata itu dengan apa yang dirujuknya. Contohnya:

- Berkepala dua ( tidak berpendirian atau memihak ke sana dan memihak ke sini )

- Langkah kanan ( bernasib baik atau bertuah )