Friday, 30 March 2012

#20 Dielek Kelantan (3)


Penggunaan bahasa Inggeris pada hari ini sangat dititikberatkan. Disebabkan penggunaannya semakin meningkat, kita dapati bahawa masyarakat pada hari ini telah menggabungkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris terutama dalam berkomunikasi. Namun, sedarkah kita bahawa dalam dialek Kelantan juga terdapat penggunaan bahasa Inggeris. Ini menggambarkan bahawasanya penduduk negeri Kelantan telah banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian. Contoh perkataannya ialah:

Bekwoh       = Big work
Pasenje       = Pasengger
Kona           = Corner
Derek          = Direct
Sterik          = Stright
Hema          = Hammer
Chesow        = Chain Saw
Kueri            = Query
Stesin bah    = Bus Station

Thursday, 29 March 2012

#19 Dialek Kelantan (2)


Apabila dibandingkan dialek Kelantan dengan bahasa Malaysia, didapati beberapa kelainan yang ketara dapat dilihat seperti dalam aspek fonologi. Dalam bidang fonologi, iaitu kajian terhadap bunyi-bunyi bahasa dan susunan bunyi-bunyi tersebut dalam satu-satu bahasa, didapati ada kelainan yang ketara di antara dialek Kelantan dengan bahasa Malaysia, iaitu dalam aspek pengucapan.

Kelainan Dalam Pengucapan

Cara mengucapkan satu-satu kata dalam dialek Kelantan berlainan dengan cara mengucapkannya dalam Bahasa Malaysia. Umpamanya, penutur dialek Kelantan mengucapkan [ɔ੪ɛ] untuk [oran] dan [kitɔ] untuk [kitə].

Berikut merupakan ucapan yang berlainan di antara dialek Kelantan dengan bahasa Malaysia:

Dialek Kelantan
Bahasa Malaysia

[ kəbo ]
[ kəbon ]
‘kebun’
[ itɛ ]
[ hitam ]
‘hitam’
[ habih ]
[ habes ]
‘habis’
[ mɔʔtɛ ]
[ rambotan ]
‘rambutan’
[ bukuhsɛ ]
[ bungkusan ]
‘bungkusan’
[ hala ]
[ halal ]
‘halal’
[ səlamaʔ ]
[ səlamat ]
‘selamat’
[ kuba ]
[ kərbau ]
‘kerbau’
[ sapa ]
[ sampai ]
‘sampai’



Wednesday, 28 March 2012

#18 Agama, Bahasa dan Adat


Petang ini, saya telah meluangkan sedikit masa membaca akhbar. Pelbagai berita terkini dapat saya ikuti. Dalam pembacaan tersebut, saya begitu tertarik dengan penulisan Ridhuan Tee Abdullah dalam ruangan Kolumnis (sini). Apa yang menariknya, beliau telah membicarakan tentang bahasa, adat dan agama.

Beliau telah menerangkan dengan jelas bahawa penyebaran agama berlaku dengan menggunakan bahasa. Bahasa menjadi alat untuk berdakwah dan menyebabkan pedagang Arab, Cina dan India telah berusaha mempelajari bahasa Melayu agar dapat memperluaskan penyebaran agama Islam.

Kita tahu bahawasanya bahasa, adat dan agama merupakan satu perkara penting yang perlu kita jaga dan hormati. Namun, dalam mencapai sesuatu, kita asyik mengetepikan perkara ini. Dan paling malang apabila kita telah mensia-siakan perkara yang selama ini kita jaga.

Oleh hal demikian, kita perlulah kembali kepada asal usul kita. Kita perlu kenal siapa diri kita. Dengan cara ini, kita akan lebih menghormati agama, adat dan juga bahasa.


Tuesday, 27 March 2012

#17 Datuk Vs Dato'


Apabila seseorang itu memperoleh cucu, kita pasti akan memanggil beliau dengan gelaran datuk. Gelaran ini merupakan satu gelaran yang akan pasti diperoleh oleh kita tidak kira lambat atau cepat. Namun, bukan gelaran datuk dalam kekeluargaan yang ingin diceritakan, tetapi Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Dato’.

Kita dapat lihat pada hari ini, ramai individu yang memperoleh anugerah ini tidak kira yang bergiat aktif dalam sukan, akademik, politik, hiburan dan sebagainya. Anugerah ini diberikan adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara yang tercinta ini.

Walau bagaimanapun, kita sering kali mengalami kekeliruan untuk menulis gelaran ini sama ada untuk menulis Datuk atau Dato’ dalam penulisan kita. Kekeliruan ini merupakan perkara biasa dan saya sendiri mengalaminya. Hal ini terjadi kerana kita tidak mengetahui siapa yang telah menganugerahkan anugerah ini kepada mereka.

Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan, yakni oleh Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai sultan dan diketuai oleh Yang Dipertua seperti Melaka, Sarawak dan Sabah.

Contoh penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk ialah;

Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Sharifah Aini, Datuk Shah Rukh Khan dan lain-lain.

Sementara itu, Dato’ pula ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja.

Contoh penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ ialah;

Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ Mizal Zaini, Dato' Idris Md Yusof dan lain-lain

Oleh hal demikian, kita seharusnya dapat membezakan penggunaan Datuk dan Dato’ apabila membaca sedikit penerangan di atas.

                                      Datuk Shah Rukh Khan


                        Dato' Mizal Zaini dan Dato' Idris Md Yusof

Monday, 26 March 2012

#16 Dialek Kelantan






Kelantan merupakan sebuah negeri agraria, iaitu negeri yang menjalankan aktiviti pertanian. Negeri ini mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan sesetengahnya terdiri daripada perkampungan nelayan. Negeri Kelantan mempunyai keluasan lebih 14,992 km dan terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia yang berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan Thailand. Kelantan dibahagikan kepada 10 jajahan pentadbiran, iaitu Kota Bharu sebagai ibu negeri, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. 

Penduduk-penduduk di negeri ini menggunakan dialek Kelantan sebagai bahasa pertuturan seharian mereka untuk berkomunikasi dan menyampaikan maklumat penting. Dialek Kelantan juga dituturkan oleh penduduk yang mendiami daerah-daerah sempadan Kelantan / Terengganu, Kelantan / Pahang, dan juga beberapa daerah dalam wilayah Thailand Selatan seperti Sungai Golok, Narathiwat, Yala dan Patani. Walaupun menggunakan dialek Kelantan, setiap daerah mempunyai perkataan yang berlainan untuk mengungkapkan sesuatu benda.

Sistem vokal dalam dialek Kelantan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu vokal kardinal primer dan vokal kardinal sekunder. Vokal kardinal primer terdiri daripada dua iaitu ê dan a. Manakala vokal kardinal sekunder terdiri daripada i, e, ĕ, u, o, ô. Sesuatu vokal tertentu yang berada di akhir perkataan dalam dialek Kelantan berkemungkinan mempunyai kesejajaran dengan urutan vokal konsonan dalam bahasa Melayu standard. Cara penyebutan vokal i, e, u dan o dalam lingkungan sistem fonologi subdialek tidak banyak berbeza dengan cara penyebutan dalam bahasa Melayu standard. Namun cara penyebutan ini mempunyai pengecualian jika vokal tersebut mempunyai ciri-ciri vokal kardinal sekunder pada sifat kardinal vokal-vokal berkenaan yang bersesuaian. Contohnya dapat dilihat dalam situasi yang berkenaan:

1) Vokal a yang terdapat pada akhir perkataan dalam bahasa Melayu standard adalah sejajar dengan vokal ô dalam subdialek Kelantan. Contoh penggunaannya dalam perkataan ialah:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# manô #/
mana
/# bakpô #/
kenapa

2) Vokal a yang terdapat dalam suku kata akhir tertutup bahasa Melayu Standard sejajar dengan vokal ô yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Penggantian vokal a pada bahasa Melayu standard kepada vokal ô dalam subdialek Kelantan akan berlaku jika perkataan tersebut berakhir dengan hentian glotis (q) atau frikatif glotis (h) selepas vokal a tersebut dalam perkataan bahasa Melayu standard. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# susôh #/
susah
/# galôk #/
galak

3) Perkataan yang mempunyai suku kata tertutup a yang diakhiri dengan konsonan t dan p dalam bahasa Melayu standard akan digantikan dengan hentian glotis (k) dalam subdialek Kelantan. Namun vokal a pada suku kata tertutup tersebut tidak akan berubah. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# cepak #/
cepat
/# isak #/
hisap

4) Vokal a yang diikuti dengan konsonan nasal dalam suku kata akhir tertutup bahasa standard akan digantikan dengan vokal ê dalam subdialek Kelantan. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# makê #/
makan
/# sajê #/
sayang

5) Vokal a yang diikuti dengan konsonan l dan r dalam perkataan bahasa Melayu standard pada suku kata akhir tertutup adalah sejajar dengan perkataan yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Namun, konsonan l dan r akan dihilangkan dalam perkataan subdialek Kelantan. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# kĕba #/
kebal
/# tika #/
tikar

6) Dalam subdialek Kelantan, diftong tidak wujud. Namun diftong au dan ai pada akhir perkataan dalam bahasa Melayu standard adalah sejajar dengan vokal a pada akhir perkataan yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Contohnya:

Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# pana #/
panau
/# panda #/
pandai

Kesimpulannya, dialek Kelantan merupakan salah satu dialek yang terdapat dalam bahasa Melayu. Dialek Kelantan dituturkan oleh penutur-penutur yang berasal dari Kelantan dan masyarakat yang tinggal di negeri Kelantan. Walau bagaimanapun, dialek Kelantan juga turut dituturkan oleh penduduk-penduduk yang mendiami daerah yang bersempadan dengan negeri Kelantan. Antara penduduk yang menggunakan dialek atau loghat Kelantan dalam pertuturan mereka ialah penduduk yang berada di sempadan negeri Kelantan serta tiga wilayah selatan Thailand. walaupun dialek Kelantan mempunyai cara sebutan yang berbeza dengan cara sebutan yang terdapat pada bahasa Melayu standard, namun dialek Kelantan tetap tergolong dalam rumpun bahasa Melayu dan perlu dikekalkan.