Friday, 6 April 2012

#25 Bahasa dan Simbol

Irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitulah juga bahasa dan simbol. Jika kita perhatikan di sekeliling kita, banyak simbol yang digunakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Sebagai contoh, simbol-simbol yang diletakkan di sepanjang jalan untuk memberi peringatan kepada pemandu supaya berhati-hati. Walaupun dengan menggunakan simbol, kita dapat memahami mesej yang ingin disampaikan.

Walau bagaimanapun, tidak semua yang memahami simbol-simbol yang diletakkan sebagai panduan buat kita. Seandainya ramai yang memahami simbol-simbol di sepanjang jalan, sudah pasti masalah kemalangan dapat dikurangkan kerana semua pengguna jalan raya akan berhati-hati semasa memandu.

Namun, bukan mengenai papan-papan tanda di tepi jalan yang ingin diperkatakan, tetapi mengenai tanda dan simbol yang diletakkan di dalam bilik kuliah. Tanda apa yang sering kali diletakkan di dalam bilik kuliah? Sudah semestinya tanda dan simbol dilarang makan di sini.

Setiap kali saya masuk ke dalam bilik kuliah, saya dapati keadaan bilik kuliah kotor dengan pembalut makanan dan botol air minuman. Kenapa perkara ini masih lagi berlaku sedangkan di pintu telah ditampalkan dengan tanda ini agar para pelajar dapat melihatnya dan di sebelah dalam bilik kuliah, amaran ini ditegaskan lagi dengan ayat “dilarang makan dan minum di dalam bilik kuliah ini”.

Perkara sebegini sering kali berlaku dalam kehidupan kita. Walau di mana kita berada, kita sering mengalami masalah yang sama. Tidak faham atau buat-buat tidak faham yang telah menyebabkan amalan ini terus dilakukan.


Thursday, 5 April 2012

#24 Teguran

“Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain.”

Ayat yang saya tulis di atas adalah antara kata-kata cerdik pandai tentang orang yang menegur dan ditegur. Dalam kehidupan kita seharian, kita tidak terlepas melakukan kesilapan dan kesalahan. Oleh hal demikian, kita memerlukan teguran agar dapat kita membaiki kelemahan yang ada pada diri kita.

Teguran secara asasnya bersifat membina dan ada masanya teguran itu boleh menjadi satu benda yang pedas kepada orang yang ditegur. Teguran yang membina kebiasaannya bersifat lembut, spontan, menyenangkan dan apa yang ditegur itu dapat kita terima dengan hati yang terbuka. Sementara itu, teguran yang pedas biasanya menyakitkan, menyindir dan membuatkan hati kita mudah melenting.

Saya juga pernah menegur dan juga ditegur. Tapi kali ini, saya merasakan teguran yang diberikan kepada saya agak keras sedikit berbanding kebiasaannya. Saya seakan-akan tidak berani untuk mendongakkan kepala apabila ditegur. Pada pandangan saya, teguran itu sudah tidak menjadi satu teguran apabila orang yang menegur itu seperti sedang memarahi saya.

Sepatutnya, teguran itu boleh dilakukan dengan lebih mesra agar apa yang ingin disampaikan dapat diterima. Saya mengakui bahawasanya teguran bersifat keras juga diperlukan dalam membantu membentuk diri untuk menjadi seorang guru yang baik. Namun, apabila teguran itu kelihatan seperti sedang memarahi seseorang, teguran yang dibuat itu akan disambut dengan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Walau bagaimanapun, saya berterima kasih kepada beliau kerana sanggup menegur kesilapan yang saya lakukan.

Apa yang pasti, setiap orang yang menegur pasti juga sedia ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya tiga jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri.

“Sampaikanlah yang benar walaupun ianya pahit…”





Wednesday, 4 April 2012

#23 Forum Bahasa Melayu 2012


Alhamdulillah, pada hari ini saya berkesempatan menghadiri satu forum, iaitu FORUM BAHASA MELAYU 2012: KEBERKESANAN PENDEKATAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DAN MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS (MBMMBI) DALAM KONTEKS PENDIDIKAN DI SEKOLAH anjuran Exco Akademik dan Kerjaya, Jawatankuasa Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (JMKLK) 2011/2012. Forum ini telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Forum yang diadakan ini sedikit sebanyak telah meningkatkan kefahaman saya tentang kepentingan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Kita sedia maklum bahawasanya bahasa Melayu telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Oleh hal demikian, kita sebagai warganegara Malaysia perlulah mengangkat martabat bahasa Melayu setinggi yang mungkin.

Dalam forum ini juga, saya tertarik kepada satu ulasan yang dibuat oleh seorang ahli panel dalam menjawab persoalan yang dikemukakan. Beliau ialah Prof. Dr. Teo Kok Seong, merupakan satu-satunya ahli panel berbangsa Cina. Daripada ulasan yang dibuat, beliau telah menyatakan bahawa bahasa Melayu itu sendiri telah memberikan tiga nilai utama kepada bangsa Melayu.

Pertamanya ialah bahasa Melayu menjadi asas ilmu pengetahuan. Maksudnya, bahasa Melayu itu perlu didahulukan penggunaannya berbanding bahasa-bahasa lain kerana bahasa Melayu itu lebih dekat dengan masyarakat Malaysia.

Kedua, adalah sebagai khazanah budaya Melayu. Kita perlu mengetahui bahawa tanpa bahasa Melayu, kita tidak akan mengetahui budaya Melayu dengan sedalamnya.

Dan yang ketiga ialah, bahasa Melayu itu dikatakan mempunyai nilai kognisi, iaitu menunjukkan atau mengajarkan cara orang Melayu memproses ilmu. Prof. Teo telah memberi contoh yang mudah berkaitan dengan nilai yang ketiga ini. Beliau telah mengambil contoh apabila seseorang itu sendawa. Jika dalam budaya barat, sendawa merupakan satu perkara yang menjijikkan atau tidak sopan. Oleh itu, apabila seseorang itu sendawa, ‘I’m sorry’ akan diucapkan untuk memohon maaf di atas kelakuan itu.

Namun perkara ini berbeza dengan adab dan amalan kita sebagai orang Melayu dan beragama Islam. Selepas sendawa, lebih afdal jika diucapkan ‘Alhamdulillah (segala puji bagi Allah)’ kerana sendawa itu adalah satu nikmat yang diberikan oleh-Nya kepada kita.

Apa yang menariknya, walaupun Prof. Teo merupakan seorang yang berbangsa Cina, namun pengetahuan beliau tentang adab, pemikiran dan nilai Melayu sangat tinggi. Semangatnya juga berkobar-kobar dalam memperjuangkan identiti orang Timur. Semoga perjuangannya berterusan dan disambut serta disokong oleh orang-orang Melayu terutama generasi muda.



Tuesday, 3 April 2012

#22 Praanggapan


Apakah yang dimaksudkan dengan praanggapan? Mungkin perkataan ini sukar untuk difahami. Namun, jika perkataan ini ditukar ganti dengan perkataan andaian awal, saya percaya semua orang akan mengetahui dan memahaminya.

Dalam kehidupan kita seharian, kita tidak akan terlepas dari membuat andaian awal atau praanggapan ini. George Yule (1996: 25) menyatakan bahawa praanggapan merupakan sesuatu yang penutur mengandaikan terjadinya sesuatu perkara sebelum membuat penyebutan. Maksudnya, kita sering kali membuat andaian awal sebelum melakukan sesuatu atau mendapatkan sesuatu.

Persoalannya, adakah andaian atau praanggapan yang kita buat ini sentiasa menepati dengan apa yang kita cuba lakukan. Saya masih mengingati dengan jelas pesanan seorang profesor kepada saya yang ditulisnya di ruangan komen dalam media alternatif, facebook.

Menurut beliau, praanggapan dikenali sebagai mind reading dalam bahasa Inggeris. Perlakuan sebegini tidak begitu sesuai dilakukan kerana praanggapan sahaja tidak memadai, kita seharusnya melakukannya bagi mendapatkan keputusan yang betul dan jelas.

Namun demikian, kerana emosi kita sering mengamalkan praanggapan ini dan kerana emosi jugalah praanggapan yang kita buat berkemungkinan menyebabkan pandangan kita terhadap sesuatu perkara itu akan berubah.

Oleh hal demikian, kita perlulah berfikiran matang dalam menilai dan membuat tanggapan. Dengan itu, kita mampu untuk memahami sesuatu perkara itu sebaik mungkin.




Monday, 2 April 2012

#21 Jenis-Jenis Bahasa Kiasan


Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai murni dan bahasanya. Lihat sahaja kepandaian nenek moyang kita dalam membentuk perkataan-perkataan yang sangat halus untuk menyampaikan nasihat, teguran, pandangan dan sebagainya. Kebiasaannya, masyarakat zaman dahulu mengambil alam sekeliling dan pengalaman mereka sebagai unsur pembentukan peribahasa yang seterusnya bertindak sebagai pedoman kepada masyarakat.

Za’ba membahagikan peribahasa kepada dua jenis, iaitu peribahasa bersifat selapis dan bersifat dua lapis. Peribahasa selapis bererti apa sahaja ungkapan itulah maksudnya. Sifat terus terang tanpa maksud yang terselindung. Peribahasa selapis ini terdiri daripada bidalan, pepatah dan perbilangan, manakala peribahasa dua lapis pula bermaksud pengertian yang dimaksudkan berlainan daripada sesuatu yang dilihat daripada zahirnya.

Peribahasa

Indirawati Zahid (1998: 979), peribahasa merupakan cabang kekayaan bahasa yang dimiliki oleh semua bahasa dan merupakan satu ungkapan yang di dalamnya tersirat makna yang cukup mendalam lagi persis untuk tujuan kelancaran komunikasi. Penggunaan peribahasa mampu membuatkan orang yang dituju tidak mudah merasa tersinggung apabila berkomunikasi. Contohnya:

- Sudah jatuh, ditimpa tangga ( menggambarkan keadaan seseorang yang ditimpa oleh sesuatu kemalangan, kemudian datang pula kemalangan yang lain menimpa ke atas dirinya )

- Bagai kaca terhempas ke batu ( seseorang yang sangat sedih atau kecewa )

Perumpamaan

Nik Hassan Basri (2007: 332), perumpamaan dikenali sebagai simile, iaitu sejenis gaya bahasa perbandingan atau peribahasa yang bersifat perbandingan dua perkara yang sebenarnya berlainan atau perbandingan satu hal dengan sesuatu yang lain tetapi dianggap sama. Selain itu, perumpamaan turut menggunakan perkataan seperti, bagai, bak, ibarat, laksana dan umpama. Contohnya:

- Seperti gergaji dua mata ( seseorang yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan antara dua pihak )

- Seperti aur ditarik songsang ( amat susah menyempurnakan sesuatu pekerjaan yang kurang teratur )

Pepatah

Pepatah merupakan rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan atau perkataan. Contohnya:

- Ada batang, adalah cendawan tumbuh ( ada rezeki walau di mana juga berada )

- Ada sampan, hendak berenang ( orang yang sengaja mencari kesusahan, sedangkan ada cara yang boleh memudahkannya )

Simpulan Bahasa

Abdullah Hassan (1986) mendefinisikan simpulan bahasa sebagai ungkapan yang terjadi dalam rentetan yang sesuai dengan pola frasa bahasa Melayu. Pada umumnya, makna sesuatu simpulan bahasa berbeza sekali daripada makna perkataan yang membentuknya, iaitu tidak ada perkaitan langsung antara rangkaian kata-kata itu dengan apa yang dirujuknya. Contohnya:

- Berkepala dua ( tidak berpendirian atau memihak ke sana dan memihak ke sini )

- Langkah kanan ( bernasib baik atau bertuah )