Monday 28 May 2012

#41 Daftar Istilah


ANTROPOLOGI – Pengajian saintifik tentang asal usul manusia (perkembangan fizikal dan budayanya, ciri-ciri rasanya dan adat resam, serta kepercayaannya).

BILINGUALISME – Seseorang mengetahui dan menguasai dua bahasa serta mengamalkan dan menggunakan dua bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.

DIALEK – Satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat.

DIGLOSIA – Penggunaan dua bahasa yang berlainan atau dua kelainan bahasa yang satu tinggi, rasmi dan formal sedangkan satu bahasa lagi rendah, tidak rasmi dan basahan. Digunakan dalam lingkungan yang berlainan tetapi dalam 1 komuniti bahasa yang sama.

ETNOGRAFI – Cabang antropologi yang berkaitan dengan pemerian saintifik tentang masyarakat manusia.

ETNOLOGI – Cabang antropologi yang mengkaji rumpun (suku, kumpulan) bangsa manusia dan pelbagai aspek kebudayaannya serta perhubungan antara satu bangsa dengan yang lain.

IDIOLEK – Variasi bahasa seseorang individu.

MAKROSOSIOLINGUISTIK – Meliputi bidang yang lebih besar seperti perancangan bahasa, pengajaran bahasa, dasar bahasa dan penggunaan bahasa.

MIKROSOSIOLINGUISTIK – Kajian tentang komponen interaksi bersemuka (face to face) sebagaimana berlaku yang berkait dengan struktur formal bahasa. Komponen ini termasuklah peserta, suasana, fungsi, interaksi, tajuk, pesanan dan saluran.

PSIKOLINGUISTIK – Ilmu yang berkaitan dengan hubungan antara bahasa dengan perilaku dan akal budi manusia.

SOSIOLINGUISTIK – Kajian tentang bahasa dan pemakaian bahasa dalam hubungannya dengan masyarakat dan kebudayaan.

SOSIOLOGI – Ilmu yang meliputi segala jenis hal tentang masyarakat, iaitu bentuk-bentuk tindakan yang dilakukan oleh manusia.

Friday 4 May 2012

#40 Luahan Hati


Alhamdulillah. Setelah berpenat lelah dalam menghasilkan blog ini, akhirnya sampailah kepada entri terakhir untuk kursus Sosiolinguistik Melayu. Sedar tidak sedar, masa itu berlalu dengan pantas. Mungkin pada mulanya, saya merasakan tugasan dalam bentuk penulisan di blog merupakan satu perkara yang tidak menyeronokkan. Namun, anggapan awal saya meleset juga akhirnya.

Saya merupakan salah seorang pendatang baru dalam dunia blog. Sebelum ini saya tidak pernah menulis atau meluahkan perasaan di dalam blog. Tugasan yang diberikan inilah yang membuatkan saya berjinak-jinak dengan dunia blog. Rupa-rupanya menulis ini merupakan satu perkara yang menyeronokkan. Tambahan pula, sebagai bakal guru, saya seharusnya banyak menulis. Dan untuk menghasilkan penulisan yang bermutu, saya harus banyak membaca. Alhamdulillah, tugasan yang diberikan ini telah banyak membantu saya dalam mencari maklumat tambahan. Seperti kita sedia maklum, cabaran adalah besar bagi guru pada masa kini. Kita harus bersedia dari segi mental dan juga fizikal untuk melayan pelbagai kerenah anak-anak murid.

Secara keseluruhan, daripada situasi-situasi yang telah diberikan, dapat kita jelaskan bahawa sosiolinguistik ini merupakan satu bidang yang cukup luas. Ia merangkumi perkaitan di antara masyarakat dan juga bahasa. Segala bentuk perhubungan yang berlaku merupakan cakupan yang dikaji dalam sosiolinguistik.

Di samping itu, melalui situasi-situasi tersebut dapat kita nyatakan betapa pentingnya penggunaan bahasa dalam perhubungan kita seharian. Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang indah. Amat malang bagi kita seandainya kita tidak mampu menggunakan bahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu mempunyai peranan yang luas bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara Malaysia tetapi juga sebagai bahasa perpaduan. Dengan mengamalkan penggunaan bahasa dengan baik, kita dapat membentuk satu perhubungan yang cukup indah.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, di dalam kursus ini juga ditekankan sifat-sifat kesantunan yang sejak akhir-akhir ini makin dilupakan. Kami dididik dengan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, tidak pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Dengan adanya nilai-nilai murni sebegini, kita mampu melahirkan satu suasana yang aman dan damai tanpa adanya sengketa.

Akhir sekali, saya mengharapkan penulisan di dalam blog ini akan memberi kebaikan kepada para pembaca. Saya juga mengharapkan penulisan ini  menepati kehendak pensyarah kami, iaitu Puan Husna Faredza bt Mohamed Rezwan yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada kami. Sebelum saya mengakhiri entri ini, saya ingin memohon seribu kemaafan kepada para pembaca seandainya penulisan saya ini telah menyinggung hati dan perasaan. Terima kasih kerana sanggup meluangkan masa untuk membaca setiap entri yang telah dihasilkan. Assalamualaikum w.b.t..




Thursday 3 May 2012

#39 Janji Melayu!


Semangat untuk menjalani latihan mengajar atau praktikum semakin hari semakin membara-bara. Mana tidaknya, sudah ramai yang mengambil kesempatan cuti hari buruh yang lepas untuk berkunjung ke sekolah pilihan masing-masing. Ada yang pergi ke negeri Pahang dan ada juga yang pergi ke Negeri Sembilan. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Di samping mereka pergi melihat sekolah, mereka juga mengambil kesempatan untuk menghilangkan tekanan belajar dengan bersiar-siar di tepi pantai.

Hari ini, saya ingin sekali berkongsi tentang masa. Ya, masa merupakan satu perkara yang sangat penting. Allah juga ada menyebut mengenai masa dalam surah Al-Asr 103: (1-3) yang bermaksud, [1] Demi Masa! [2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Berbalik kita kepada cerita berkunjung ke sekolah pilihan masing-masing. Pada malam sebelum pergi melihat sekolah, saya tengok kawan-kawan serumah begitu beria-ria untuk ke sana. Ada dalam kalangan mereka yang tidur awal kerana ingin memandu dalam jarak yang jauh.

Menjelang pagi, selepas solat Subuh, saya tengok salah seorang kawan serumah sudah siap berpakaian untuk ke sekolah kerana mereka telah berjanji untuk bergerak ke sana pada pukul 8 pagi. Namun, setelah pukul 8 muncul, mereka masih tidak dapat untuk bergerak ke sana. Apabila ditanya, ada yang baru bangun dan belum siap lagi. Sedangkan pada sebelah malam, semua sudah bersepakat untuk bergerak pada pukul 8 pagi.

Begitulah yang dikatakan sebagai janji Melayu. Apabila berjanji, sukar untuk ditepati. Bagaimana kita hendak bersaing jika kita tidak mampu untuk menguruskan masa dengan baik. Oleh hal demikian, kita perlulah mengubah paradigma masyarakat supaya lebih menghargai masa dan menjadikan janji Melayu itu sebagai janji yang boleh dipakai dan tidak untuk dipertikaikan. Dalam hidup bermasyarakat umpamanya, janji merupakan satu perkara yang perlu ditepati dan dipegang. Apabila kita mampu memegang janji kita sebaik mungkin, generasi masa hadapan juga akan mampu memegang janji mereka. Dengan itu, keharmonian dalam masyarakat akan lebih terjalin.


Wednesday 2 May 2012

#38 Kelas Batal!!!


Kelas batal? Sudah tentu pelbagai tafsiran dapat dibuat. Bagi sesetengah pelajar, apabila mendengar perkataan kelas batal, pasti ada yang bersorak keriangan. Fenomena ini sudah menjadi kelaziman. Namun, tidak kurang juga yang merasakan kerugian kerana pada hari tersebut mereka tidak dapat untuk menuntut ilmu.

Pagi ini, suasana cukup indah dengan udara yang nyaman dan segar. Suasana yang saya nikmati pagi ini sedikit terganggu apabila melihatkan kawan serumah balik dari kelas dengan muka yang agak masam. Hati ingin bertanya, tetapi perasaan takut menyelubungi diri apabila melihat wajah sebegitu. Namun, saya kuatkan semangat untuk bertanya. Setelah ditanya, barulah saya tahu bahawa pada pagi ini kelas dibatalkan. Pada fikiran saya, kalau kelas batal, muka mestilah menunjukkan wajah gembira tetapi ini sebaliknya pula.

Saya kuatkan hati untuk bertanya sekali lagi. Setelah itu, barulah saya mengetahui sebenarnya hanya beliau seorang sahaja yang pergi ke kelas pagi ini. Kawan-kawan sekelas beliau tidak pergi kerana sudah mengetahui dari awal mengenai kelas yang dibatalkan pada pagi ini. Apa yang membuatkan kawan serumah saya menjadi marah adalah, sikap kawan-kawan sekelas yang hanya mendiamkan diri dan tidak memberitahu beliau mengenai perkara ini. Sedangkan, jika beliau mempunyai maklumat mengenai sesuatu, sudah pasti beliau akan menyebarkan maklumat tersebut.

Beliau menyifatkan bahawa rakan-rakannya mementingkan diri sendiri. Mereka hanya berbuat baik dan berkawan hanya untuk mendapatkan sesuatu.

Dalam hidup, kita tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri. Hal ini demikian kerana, tidak akan terlepas seseorang itu daripada mendapatkan pertolongan orang lain. Walau apa jua yang kita buat, akhirnya kita memerlukan bantuan orang lain untuk menguruskan jenazah kita apabila kita sudah meninggal dunia. Jadi, seharusnya kita saling tolong-menolong memudahkan urusan orang lain. 


Tuesday 1 May 2012

#37 Cakap-Cakap Dalam Kelas


Bila masuk hari Isnin, hatiku sentiasa rasa berdebar. Mana tidaknya, pada hari Isnin merupakan hari untuk kami mempraktikkan ilmu pedagogi terutama dalam aspek pengajaran dalam bilik darjah. Pada masa inilah, segala kekurangan dan kelebihan kami akan dinilai.

Ya, pada hari ini, dua kumpulan telah berjaya melakukan tugasan makro bagi kali pertama. Dua kumpulan ini dilihat lebih berkeyakinan berbanding kumpulan-kumpulan yang lepas. Mungkin juga disebabkan banyak kumpulan yang sudah selesai melakukan tugasan ini, dan segala komen serta penilaian yang dibuat telah diamati oleh dua kumpulan pada hari ini.

Banyak juga pengalaman baru yang kami dapat timba pada hari ini. Bagi saya sendiri, susah atau senang untuk mengajar, saya tidak dapat untuk putuskan. Ada kalanya, saya merasakan mengajar itu cukup mudah, dan ada kalanya, saya merasakan susah untuk mengajar terutama untuk memahamkan pelajar tentang sesuatu konsep.

Namun, bukan tentang tugasan makro yang ingin diceritakan, tetapi tabiat berbual atau bersembang semasa sesi pembelajaran. Saya pasti, setiap orang ada pengalaman bersembang di dalam kelas. Jika diamati, dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti, tabiat ini tidak dapat dihapuskan.

Berbalik kepada kelas pada hari ini, tabiat bersembang ini telah membuatkan hati pensyarah kami sedikit terkilan. Mana tidaknya, semasa penilaian sedang dibuat, kebanyakan pelajar di dalam kelas sibuk untuk bersembang dan tidak mengambil perhatian terhadap apa yang cuba disampaikan oleh penilai.

Pensyarah kami terkilan kerana apa yang dinilai itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk kami agar kami mengetahui di mana kekurangan supaya dapat diperbetulkan sebelum tibanya waktu praktikum nanti.

Orang tua ada menyebut, “jangan menyampuk ketika orang tua sedang bercakap”. Maksudnya di sini, kita perlu dengar dengan teliti supaya apa yang disampaikan dapat kita fahami. Begitu juga dengan situasi di dalam kelas pada hari ini. Diharapkan, selepas ini, kita mampu untuk menghormati dan memberi peluang yang sebetulnya supaya ilmu yang disampaikan dapat kita terima dengan baik dan diberkati oleh-NYA.